Pemain import sudah sedar bahawa liga kita tak mudah seperti yang mereka sangka – Rezal Zambery

72

Penolong ketua jurulatih pasukan Kelantan Darul Naim FC (KDN), Rezal Zambery Yahya berpuas hati dengan prestasi kesemua pemain-pemain importnya sepanjang latihan pra musim ini, namun akan terus menuntut kesemua mereka memberi akan terbaik apabila saingan Liga Super musim 2024/25 membuka tirainya pada 10 Mei ini.

Menurut Rezal, mereka yang beranggapan bahawa liga tempatan mudah telah merasai sendiri yang tidak mudah untuk bermain di sini berikutan ia cukup kompetitif.


“Saya yakin dengan kemampuan mereka (pemain import) yang mana mereka telah tunjukkan kesungguhan mereka apabila bersama pasukan kita dan itu yang kita mahukan dengan pengalaman luas mereka beraksi di luar negara sebelum ini.

Jadi apabila mereka datang ke liga kita, ia bukan sesuatu yang mudah buat mereka yang mana mereka juga perlu bekerja keras untuk sesuaikan diri dengan liga kita.

Setakat ini kita berpuas hati, cuma mereka tidak perlu pandang liga kita sebagai liga yang tak kompetitif kerana bagi saya liga kita sangat kompetitif. Mereka juga sudah merasai bahawa bukan mudah bermain di sini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai perkembangan pasukan yang sedang dalam latihan pra musim, Rezal berkata pasukan memperlihatkan peningkatan dari hari ke hari dan kesemua pemain dilihat sudah mula memahami taktikal-taktikal yang diterapkan oleh ketua jurulatih.

Beliau bagaimanapun memuji kesemua pemain yang memberikan komitmen yang cukup tinggi sepanjang latihan dan teruja untuk memulakan saingan liga.

KDN musim ini menampilkan ramai pemain-pemain baru dan cabaran mereka kini adalah untuk memastikan kesemua pemain dapat keserasian.

“Ya betul, bukan sahaja untuk bersaing tapi untuk mereka cari keserasian antara satu sama lain juga perlukan sedikit masa tetapi bagi saya mereka berjaya adaptasi dengan cepat.

Dalam situasi seperti ini kita tak boleh tunggu lama, jadi saya rasa dengan keakraban mereka masa latihan dapat bantu ‘bonding’ pasukan.”

Sementara itu, untuk musim ini Rezal berharap agar seluruh peminat bola sepak di Kelantan dapat memberikan sokongan kepada KDN musim ini selepas Kelantan FC tidak lagi beraksi dalam saingan Liga Super dek masalah kewangan.