Michal Jerabek sedar sukar untuk KDN cabar kejuaraan Liga Super tapi mampu perbaiki kedudukan musim lalu
Pemain pertahanan import baharu, Kelantan Darul Naim FC (KDN), Michal Jerabek sedar cabaran besar menanti mereka untuk saingan Liga Super musim 2024/25.
Dengan keadaan semasa pasukan ketika ini, Michal bersikap realistik apabila mengakui sukar untuk mereka menjadi salah sebuah pasukan pencabar kejuaraan, sebaliknya beliau optimis yang mereka mampu memperbaiki kedudukan musim lalu.
“Saya tak pasti untuk cabar kejuaraan kerana kita semua tahu JDT adalah pasukan terbaik setiap tahun, jadi memang sukar buat kami.
Dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku jadi kami perlu bermain dari satu perlawanan ke satu perlawanan yang mana kami perlu berikan aksi 100% dan perlu bekerja keras setiap hari untuk tingkatkan prestasi.
Jadi saya rasa kami mampu berada di kedudukan yang lebih baik dalam saingan liga musim ini berbanding musim lepas,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dalam pada itu, Michal tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan baru, namun sedikit bergelut dengan keadaan cuaca panas di Malaysia.
“Hari pertama saya di sini agak sukar kerana cuaca di sini panas. Di negara saya ketika ini cuaca sekitar 5-10 darjah Celsius sahaja berbanding di sini 35 darjah Celsius, jadi ia adalah perbezaan yang cukup ketara di antara Eropah dan di sini.”
Sementara itu, bercerita lanjut mengenai sasarannya untuk musim ini Michal berkata beliau mahu menjadi salah seorang pemain pertahanan terbaik liga musim ini.
“Saya mempunyai dua sasaran iaitu satu sasaran peribadi dan satu sasaran pasukan. Saya rasa apabila kelab berjaya, pemain juga akan berjaya dan jika kita bermain dengan baik peluang untuk ‘dilihat’ lebih cerah, dan sudah pastinya saya mahu jadi pemain pertahanan terbaik liga.”