Biarpun KDN dibarisi ramai pemain muda, tapi mereka berjiwa ‘fighter’ – Khatul Anuar

104

Penjaga gol Kelantan Darul Naim FC (KDN), Khatul Anuar memberitahu persiapan pasukan ketika ini hampir siap berikutan hampir 90 peratus pemain KDN musim ini adalah pemain baharu.

Menurut Khatul, berdasarkan beberapa perlawanan persahabatan pra musim baru-baru ini sangat positif dan berharap ia dapat terus kekal sehingga ke perlawanan pertama Liga Super nanti.


“Apa yang saya nampak dalam pasukan ini pemain-pemain mempunyai purata usia yang hampir sama yang mana saya lihat mereka sangat bersungguh-sungguh yang mana saya boleh labelkan mereka berjiwa ‘fighter’.

Dalam pra musim ini kesemua pemain perlu ‘fight’ untuk jurulatih melihat siapa yang akan membarisi kesebelasan utama,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, Khatul tidak dapat memberikan komen bagaimana perjalanan mereka untuk saingan liga pada musim ini, tetapi berdasarkan pemerhatiannya beliau yakin mereka mampu untuk mendapatkan keputusan yang positif.

“Saya tak boleh nak komen sangat mengenai apa yang boleh dicapai pasukan musim ini tapi saya nampak dari satu perlawanan ke satu perlawanan pra musim ini saya nampak satu yang positif di mana pemain-pemain di sini saya boleh cakap mereka ‘fighter’.

Baik ketika perlawanan atau pun ketika latihan mereka pamerkan sikap ‘fighter’ untuk cuba rebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan.”

Sementara itu, beliau yang dibelenggu masalah kecederaan pada musim lalu berkata dirinya sudah pulih sepenuhnya dan akan berusaha untuk mendapatkan minit permainan sebanyak yang mungkin, sekaligus bantu pasukan capai keputusan positif.

“Alhamdulillah sudah pulih sepenuhnya dan saya harap tahun ini saya dapat bermain banyak perlawanan, jadi saya sebagai pemain perlu bekerja keras, tak kira nama besar atau tidak kerana anda tetap perlu berusaha dalam setiap latihan untuk jurulatih melihat.”