FAM dikritik hebat, ini masanya Skuad B-23 buktikan ‘sesuatu’
Skuad B-23 ketika ini sedang berada di kem negara bagi menjalani sesi latihan persiapan menjelang kempen Piala AFF B-23 yang akan berlangsung Kemboja. Kejuaraan AFF tersebut dilihat sebagai peluang yang baik untuk skuad muda negara itu ‘menutup mulut’ penyokong bolasepak tempatan yang lantang mengkritik.
Terdahulu, FAM menerima kritikan hebat setelah kekalahan skuad senior yang tidak melepasi peringkat kumpulan di Piala AFF 2020 Singapura. Pelbagai persoalan dilontarkan penyokong termasuklah jumlah pemain yang dibawa ke kejohanan tersebut dan prestasi pasukan yang dianggap tidak memuaskan.
Tekanan turut dirasai oleh skuad muda negara yang akan menggalas tugasan seterusnya membawa nama Malaysia ke kempen Piala AFF B-23. Malaysia yang diundi dalam Kumpulan C bersama Indonesia, Myanmar dan Laos. Peluang skuad negara dilihat agak cerah namun tetap harus berjaga-jaga dengan kemampuan setiap pasukan kerana dalam bolasepak tiada apa yang boleh dijangka.
Selaku pelapis yang akan mencorakkan masa depan bolasepak negara, inilah masanya pemain-pemain muda ini menunjukkan kebolehan dan kemampuan mereka. Meskipun ketika ini mereka berlatih tanpa bimbingan ketua jurulatih Brad Maloney, namun beberapa perlawanan persahabatan telah diatur bagi menguji skuad muda negara.
Jangka masa yang agak pendek untuk persiapan ini diharap tidak menjejaskan prestasi mereka dan sekali lagi menjadi ‘alasan’ jika berdepan kegagalan. Diharapkan skuad b-23 ini mampu menyesuaikan diri dengan cepat dan mempamerkan prestasi terbaik di kempen Piala AFF B-23.