Tak terkesan dengan penambahan kuota import, perlu bersaing secara sihat untuk dapat tempat – Azrin Afiq

129

Pemain baru Negeri Sembilan FC (NSFC), Azrin Afiq memberitahu beliau tidak terkesan dengan penambahan kuota pemain import untuk saingan Liga Super musim 2024/25.

Menurut Azrin, sebagai pemain beliau akan bekerja keras dalam setiap latihan dan perlu bersaing secara sihat untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama.


“Tak terkesan sebab kalau masing-masing nak main, pemain perlu tunjukkan apa yang ketua jurulatih hendak dalam latihan.

Perlu sentiasa beri yang terbaik dan bersaing secara sihat,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Azrin yang menyarung jersi Kedah Darul Aman FC (KDA) musim lalu mempunyai misi pada musim ini iaitu mahu mendapatkan minit permainan yang banyak.

Ini kerana berdasarkan statistik di transfermarkt, beliau hanya membuat penampilan dalam lima perlawanan sahaja dengan jumlah minit permainan sebanyak 64 minit.

“Saya cuba perbaiki apa yang buruk dari saya, insyaAllah saya akan cuba dapatkan minit permainan yang banyak pada tahun ini walaupun pada tahun lepas saya kurang bermain.”

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai persiapan pra musim NSFC, beliau berkata semuanya berjalan dengan lancar dan pasukan sudah bersedia untuk saingan Liga Super membuka tirainya pada 10 Mei ini.

“Saya melihat pasukan memberikan yang terbaik dalam latihan dan juga dalam aksi persahabatan. Alhamdulillah juga sebab kesemua pemain berjaya dapatkan keserasian dan keserasian itu semakin meningkat dari satu perlawanan ke satu perlawanan.”

Beliau pada masa sama juga tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan dan taktikal yang diterapkan oleh ketua jurulatih Azzmi Aziz.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen