Ubaidullah Shamsul sedia untuk jadi tonggak pertahanan TFC musim ini
Pemain pertahanan muda Terengganu FC (TFC), Ubaidullah Shamsul bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai salah seorang pemain tonggak di barisan pertahanan untuk saingan Liga Super musim 2024/25.
Menurut Ubaidullah, beliau mengakui berdepan tugas sukar untuk bersaing dengan pemain import tetapi beliau yakin ketua jurulatih Tomislav Steinbruckner adalah seorang jurulatih yang sentiasa memberi peluang kepada pemain muda untuk bersinar.
“Ya saya sememangnya bersedia dan saya harap benda itu akan betul-betul berlaku kerana bukan mudah untuk bersaing dengan pemain import.
Tapi saya percaya kepada ketua jurulatih yang sentiasa memberi peluang kepada pemain muda,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tambahnya lagi, peluang dapat bermain dengan skuad utama secara tidak langsung akan menambah keyakinannya sekaligus dapat mematangkan dirinya sebagai seorang pemain.
Dalam pada itu, berkongsi mengenai pengalamannya beraksi dalam kejohanan Piala Asia B-23 2024 di Doha, Qatar baru-baru ini, Ubaidullah berkata banyak yang dipelajarinya biarpun skuad negara tersingkir awal selepas tewas dalam ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan.
“Sudah pastinya saya banyak belajar dari segi emosi. Ia sebagai daripada permainan jadi saya tak boleh nak cakap apa-apa.
Kadang-kadang kita menang, kadang-kadang kita rasa macam menang pun kita tak menang dan itu adalah lumrah bola sepak jadi kita kena hadap. Mungkin benda itu berlaku ada sebab, mungkin akan ada kebangkitan selepas itu atau sebagainya. Itulah yang terjadi.”