Ismaheel Akinade anggap penghijrahannya ke TFC sebagai ‘batu loncatan’ dalam kariernya
Pemain import Ismaheel Akinade menganggap penghijrahannya dari Kelantan Darul Naim FC (KDN) ke Terengganu FC sebagai ‘batu loncatan’ dalam karier bola sepaknya di Malaysia.
Menurut Ismaheel, beliau cukup teruja dapat menyarung jersi TFC kerana ia sebuah pasukan yang cukup hebat dengan pemain-pemain yang berkualiti.
“Ya sudah pasti kerana saya sentiasa mahu bermain dengan pasukan terbaik dan perpindahan ke TFC adalah satu ‘batu loncatan’ dari dua kelab terdahulu saya di Malaysia.
Di sini ‘demand’ tinggi dan anda bermain dengan pemain berkualiti yang mana ia secara tak langsung dapat tingkatkan kualiti diri sendiri dan dengan peluang ini saya akan berikan persembahan terbaik saya dalam setiap perlawanan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Beliau tidak berdepan sebarang masalah langsung untuk menyesuaikan diri dengan pasukan baru, malah sudah mesra dengan kesemua rakan sepasukan.
Tambahnya lagi, apa yang membuatkannya lebih teruja adalah dapat bekerja dibawah ketua jurulatih Tomislav Steinbruckner yang sentiasa memberi tunjuk ajar untuk tingkatkan lagi kualiti seseorang pemain.
“Jurulatih sentiasa cuba mengajar saya perkara baru yang mana saya tiada masalah dan terbuka untuk belajar, jadi kredit harus diberikan kepadanya kerana beliau sentiasa mahu tingkatkan kualiti seseorang pemain itu biarpun pemain itu bermain dengan baik atau pun jaringkan gol, jadi saya sangat menghargai perkara itu.”
Dalam pada itu, beliau tidak melihat bermain dengan sebuah pasukan besar akan memberikan lebih tekanan kerana baginya apa yang penting adalah untuk memberikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan.
Ismaheel tidak meletak sebarang sasaran buat dirinya, sebaliknya mempunyai sasaran untuk pasukan untuk cuba menang dalam setiap perlawanan.
“Untuk peribadi tiada, tapi untuk pasukan kita mahu menang sebanyak yang mungkin untuk tamatkan saingan liga di kelompok tertinggi dan berharap dapat mara ke perlawanan akhir piala.
Sudah pastinya sebagai seorang penyerang saya mahu jaringkan gol dalam setiap perlawanan.”