Piala 4 penjuru inisiatif yang baik ‘meriahkan’ pra-musim

1,408

Inisiatif penganjuran Kejohanan Bolasepak 4 Penjuru dalam perebutan Piala YAB Menteri Besar Terengganu 2022 dilihat sebagai langkah baik bagi persediaan pasukan Liga Malaysia dalam menghadapi musim baru sebelum liga bermula awal Mac nanti.

Meskipun pasukan lain juga giat berlatih dan mengatur perlawanan persahabatan, namun inisiatif kejohanan ini dilihat lebih memberi saingan yang kompetitif kerana ia melibatkan perebutan piala sekaligus membuatkan setiap pasukan memandang serius tentang persediaan pra-musim.


Kejohanan yang akan berlangsung pada 5-9 Februari 2022 disertai oleh empat pasukan Terengganu FC, Terengganu II FC, Sri Pahang dan Penang FC akan dilangsungkan di dua venue iaitu Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dan Stadium Ismail Nasiruddin Shah.

Jadual perlawanan melibatkan keempat-empat pasukan

Walaupun ini bukan perlawanan utama, namun para penyokong pasti sudah tidak sabar untuk menyaksikan empat pasukan ini berentap bagi menguji keserasian pemain masing-masing terutamanya pemain import, memandangkan setiap pasukan mempunyai pemain baru yang masih dalam proses pengenalan bersama pasukan.

Kesemua perlawanan boleh disaksikan secara live di stadium dengan tiket berharga RM 10 dan RM 9 bagi pemegang TFC Membership Card, manakala bagi penyokong yang tidak dapat ke stadium boleh menyaksikan secara online di balzr tv dengan harga RM 7.90.