Amir Abada sasar untuk cuba tembusi skuad utama bermain di Liga Super
Pemain Sabah FC B-23, Amir Abada teruja menanti sepak mula saingan Piala MFL musim 2024/25 yang akan membuka tirainya pada 20 Mei ini dan berharap dapat membantu pasukannya untuk memperoleh keputusan cemerlang.
Menurut Amir yang merupakan pemain berdarah kacukan Malaysia-Mesir, selain mahu bantu skuad B-23 peroleh keputusan positif, beliau turut meletakkan sasaran buat dirinya untuk cuba menembusi skuad utama yang beraksi di Liga Super.
“Sasaran saya semoga pasukan Sabah B-23 mampu melakar kejayaan dalam siangan Piala MFL musim ini dan harapan saya pula adalah dapat bermain di peringkat tertinggi di Liga Super dan mungkin satu hari nanti dapat mewakili negara,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Amir juga mendedahkan bahawa beliau pernah hampir berputus asa apabila beliau tidak dapat mewakili daerah berikutan masalah dokumen yang dihadapinya.
“Masa tingkatan tiga ada sedikit masalah yang mana saya tidak dapat mewakili MSSD dan MSSS dek masalah dokumen yang tidak dapat dielakkan, jadi masa tu agak ‘down’ juga hingga timbul rasa nak putus asa dari bermain bola sepak.
Tapi dengan sokongan kawan-kawan, sokongan keluarga semua saya teruskan juga dengan jadikan bermain bola sepak sebagai hobi serta bermain liga di sekitar Selangor dan pada masa sama saya turut mewakili PLD Selangor.”
Dalam pada itu, beliau turut meluahkan keterujaannya apabila dapat bermain bersama bekas ‘wonderkid’ negara iaitu Rozaimi Abdul Rahman pada musim ini.
“Sampai sekarang saya tak percaya kerana dulu saya lihat beliau bermain di tv yang mana beliau diberi gelaran ‘Neymar Malaysia’, jadi bila dapat satu pasukan dengan beliau, dapat berlatih sekali saya berasa bangga.”
Tambahnya lagi, Rozaimi merupakan seorang yang sangat merendah diri dan banyak memberi tunjuk ajar kepada pemain muda sepertinya.