Nafuzi Zain akui hujan jejaskan rentak permainan tapi lega dapat lunaskan ‘hutang’
Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA), Nafuzi Zain mengakui hujan lebat yang turun ketika aksi menentang PDRM FC nyata menjejaskan rentak permainan pasukannya sekaligus sukar untuk mereka menambah jaringan.
Nafuzi bagaimanapun lega mereka berjaya kutip kemenangan pertama sekaligus dapat melunaskan ‘hutang’ tiga mata yang dikenakan kepada mereka sebelum ini.
“Bagi saya 20 minit pertama kita bermain dengan cukup baik dengan mencipta beberapa peluang dan berjaya menjaringkan gol.
Tapi selepas hujan lebat merencatkan rentak kedua-dua pasukan tapi secara keseluruhan untuk perlawanan pertama memang perlawanan yang susah tapi Alhamdulillah tiga mata, kita bayar hutang,”
katanya.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang dalam keadaan hujan lebat menyaksikan pasukan pelawat berjaya mengekalkan jaringan pada minit pertama sehingga ke wisel penamat untuk keputusan 1-0.
Menurutnya lagi, pemain-pemain juga dilihat sudah faham dengan taktikal yang diterapkannya dan beliau juga mengakui beberapa pemain baru masih perlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri sepenuhnya.
Dalam pada itu, Nafuzi mengakui dua perlawanan awal Sang Kenari agak sukar kerana mereka perlu bermain di tempat lawan dan selepas ini mereka akan bertemu pasukan gergasi Selangor FC pula di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
“Kita mempunyai dua perlawanan sukar di tempat lawan dengan seterusnya bertemu Selangor yang mana saya rasa ia akan jadi aksi yang cukup menarik jadi dengan permulaan yang baik memperoleh kemenangan dapat memberi tonik tambahan buat pemain sebelum bertemu Selangor.”
Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa pemain import Sony Norde layak diberikan tanggungjawab sebagai ketua pasukan kerana bukan sahaja beliau pemain senior tapi punya pengalaman cukup luas dalam bola sepak Malaysia.
“Bagi saya Sony adalah pemain paling senior dalam pasukan dan mempunyai pengalaman dalam saingan liga tempatan, jadi sebagai senior saya rasa beliau layak untuk dapat kapten dan dibantu oleh Syafiq Ahmad dan Akmal Zahir.”