Biarpun kalah, P. Maniam tetap bangga dengan semangat juang dipamerkan oleh pemainnya
Ketua jurulatih PDRM FC, P. Maniam tetap bangga dengan persembahan pemain-pemainnya sepanjang tempoh 90 minit permainan biarpun mereka terpaksa akur apabila tewas 1-0 kepada Kedah Darul Aman FC.
Turun beraksi di halaman sendiri di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, PDRM terpaksa berputih mata selepas ketinggalan seawal minit pertama dengan kemudian hujan lebat turun menyebabkan rentak kedua-dua pasukan terjejas.
“Kita tak dapat fokus pada beberapa minit awal yang menyebabkan kita dihukum dengan jaringan daripada Kedah, selepas itu kita dapat satu dua peluang untuk jaringkan gol pada separuh masa pertama namun kita gagal untuk menyempurnakannya.
Kita juga dapat lihat selepas Kedah jaringkan gol, kita bermain dengan lebih baik dengan kesemua pemain bermain dengan bersungguh-sungguh tapi pada separuh masa kedua sukar untuk kita berikutan keadaan padang yang tidak elok akibat hujan lebat yang menyebabkan kita perlu hantar bola ke depan dan ini tidak bagus.
Secara keseluruhan saya melihat PDRM walaupun kita kalah 1-0 tapi saya rasa bangga dengan pemain-pemain sebab mereka tunjukkan satu karakter di atas padang,”
katanya.
P. Maniam turut mengakui penyerangnya Ifedayo Olusegun mempunyai peluang menjaringkan gol selepas berada dalam situasi satu lawan satu tapi gagal, oleh itu beliau berharap selepas ini pemain itu akan manfaatkan peluang terhidang seperti itu.
Dalam pada itu, pengendali The Cops itu mengakui berasa risau dengan kekalahan itu dan tegaskan bahawa pasukannya perlu segera bangkit untuk perlawanan kedua nanti.
“Sudah tentu saya risau selepas kalah 1-0, jadi kita kena ‘come back’. Ia bukan mudah kerana kadang kala apabila kita menang momentum ada tapi hari ini kita kalah jadi kita kena buat persiapan lebih bagus untuk perlawanan akan datang.”
Pada 18 Mei ini PDRM akan turun ke Stadium Ipoh untuk aksi kedua Liga Super menentang Perak FC.