Nasib Kelantan FC beraksi di Liga A1 akan diketahui hari ini
Selepas gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan untuk terus bermain di Liga Super musim 2024/25 dek masalah kewangan, Kelantan FC telah membuat permohonan untuk bermain di liga semi-profesional Liga M3 atau kini dikenali sebagai Liga A1 kendalian Amateur Football League (AFL) untuk musim ini.
Bagaimanapun sehingga kini pasukan Kelantan masih lagi belum mengesahkan tempat dan hari ini merupakan penentuan samada Liga A1 akan mempunyai 16 pasukan atau 15 pasukan.
Menurut Ketua Pegawai Operasi (COO) AFL iaitu Mohd Raimi Fikri Mohd Fuad, pihak The Red Warrior sepatutnya mengesahkan pasukan mereka pada 8 Mei lalu tetapi mereka kemudian telah meminta penangguhan.
“Untuk setakat ini masih lagi 16 pasukan seperti yang kita umumkan sebelum ini, tiada pengurangan tiada penambahan. Kelantan kalau ikutkan tarikh akhir mereka untuk mendaftarkan minimum 20 pemain adalah pada 8 Mei.
Namun begitu terdapat perbincangan di mana pasukan Kelantan datang berjumpa dengan AFL untuk meminta sedikit penangguhan dengan menunjukkan bukti yang mereka sedang berusaha jadi AFL dengan terbuka beri tempoh lanjutan sehingga ke esok (hari ini),”
katanya.
Dalam pada itu, Raimi pada masa sama turut menjelaskan bahawa pihak AFL sudah bersedia dan tiada masalah sekiranya terdapat pengurangan pasukan.
“Ya memang kita sudah bersedia sebab sebelum kita umumkan 16 pasukan kita tahu risiko dan implikasi kepada pengumuman tersebut dan kita bersedia kerana sebelum ini pun kita pernah buat liga dengan 20 pasukan.
Jadi bagi kita 16 atau 15 pasukan tiada masalah.”
Sementara itu, beliau juga berkata sekiranya Kelantan sah tidak akan bermain pihak AFL mempunyai tempoh kurang 21 hari untuk ganti pasukan itu.