Kecewa dengan kelab besar di Thailand kerana tidak melabur dalam pembangunan akar umbi – Witthaya Laohakul

309

Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT), Witthaya Laohakul meluahkan rasa kecewanya terhadap kelab-kelab besar di Thailand kerana tidak memberi tumpuan dan melabur dalam pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi.

Menurut Witthaya Laohakul, sekiranya Thailand ingin menjadi pencabar di peringkat Asia mereka perlu ikut jejak langkah seperti negara gergasi Jepun dan Korea Selatan.


“Saya sangat kecewa dengan kelab-kelab besar di Thailand. Mereka perlu melabur dalam pembangunan bola sepak akar umbi.

Ini kerana bagi saya sekiranya kita mahu jadi pencabar di Asia atau hampir sama dengan Jepun atau Korea Selatan, kita perlu labur dalam pembangunan akar umbi dan bukannya fokus pada skuad utama sahaja.

Kebanyakan kelab besar di Thailand ketika ini terlalu fokus pada skuad utama dan bukannya akademi,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahnya lagi, sekiranya kelab-kelab gagal untuk melabur dalam pembangunan akar umbi, bola sepak di negara itu tidak akan mampu untuk bersaing di peringkat tinggi pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Witthaya Laohakul yang merupakan panel untuk pembangunan akar umbi dalam Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memuji beberapa kelab di Malaysia dan Singapura yang mempunyai akademi yang cukup bagus.

“Saya berada dalam AFC sebagai panel pembangunan akar umbi di mana saya pusing Asia untuk memantau akademi dan saya melihat Lion City Sailors (Singapore), Johor Darul Ta’zim dan Selangor FC (Malaysia) yang mana mereka mempunyai pembangunan yang cukup bagus.

Berbeza pula di Thailand yang mana pusat latihan pun tidak ada. Di Malaysia ada AMD di mana ia fasiliti yang cukup menakjubkan.”