Liga Puteri B-15 telah lahirkan ramai pasukan bola sepak wanita – Shahira Aqilah

199

Ketua jurulatih pasukan bola sepak wanita B-15 Velocity FC, Shahira Aqilah berkata penganjuran Liga Puteri B-15 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menyaksikan pertambahan jumlah pasukan bola sepak wanita.

Menurut Shahira, ia merupakan satu perkembangan yang cukup positif untuk bola sepak wanita negara kerana sebelum ini fokus lebih ke arah bola sepak lelaki.


“Dengan penganjuran Liga Puteri B-15 oleh FAM ia telah membuka mata banyak komuniti untuk wujudkan lebih banyak pasukan bola sepak wanita.

Jika dahulu di sini ada Velocity sahaja tapi kini terdapat beberapa pasukan baru untuk perempuan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, Shahira yang sudah empat tahun menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih turut berkongsi cabarannya mengendalikan pasukan wanita.

“Cabarannya kita kekurangan pemain wanita jadi nak cari pemain-pemain bawah umur ni susah jadi saya harap lebih banyak klinik bola sepak dapat dianjurkan untuk menarik minat mereka untuk bermain bola sepak.”

Sementara itu, beliau berharap FAM akan terus meluaskan penganjuran liga bermula dari B-12 hingga ke B-16 sekaligus menjadi jalan untuk pemain menyarung jersi Malayan Tigress.