Semakin banyak ibu bapa sokong anak perempuan main bola sepak – Faizal Sultan

112

Tidak dapat dinafikan bola sepak wanita di Malaysia ketika ini memperlihatkan perkembangan yang cukup positif apabila ia semakin mendapat perhatian apabila semakin banyak kejohanan atau liga melibatkan wanita ketika ini.

Menurut pengurus pasukan wanita Velocity Academy B-15 iaitu Mohd Faizal Bin Mohd Sultan, beliau berkata persepsi mengenai bola sepak adalah sukan lelaki kini sudah berubah dan beliau juga bangga melihat semakin banyak ibu bapa yang menyokong anak perempuan mereka bermain bola sepak.


“Kami bermula pada awal tahun 2023 dan kami bermula dengan apa yang ada sahaja yang mana rata-rata pemain kami ketika itu berumur 12 dan 13 tahun.

Jadi daripada situ sepanjang tahun itu kita ‘develop’ anak-anak ini untuk menjadi seorang pemain yang ada ilmu dan juga keberanian.

Kita faham bola sepak selalu orang ingat lelaki tapi Alhamdulillah kami berjaya buktikan apabila banyak ibu bapa sokonga anak perempuan mereka main bola sepak,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Faizal turut gembira dengan perkembangan semasa bola sepak wanita di negara ketika ini yang dilihat semakin meningkat dan akan terus meningkat pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Shuhairy Norshisham yang merupakan pembantu jurulatih mengakui terdapat perbezaan dalam melatih pemain wanita berbanding melatih pemain lelaki.

“Memang berbeza apabila melatih kerana kebanyakan pemain-pemain ini berusia 13 tahun ke atas dan sudah akil baligh jadi kita perlu lebih memahami perasaan mereka dan sebagainya.

Dalam masa yang sama juga mereka ini lebih mendengar cakap sebab mereka tidak ada banyak rujukan di luar sana jadi lebih mudah untuk mengajar mereka.”

Sementara itu, Velocity Academy kini sedang giat membuat latihan sebagai persiapan untuk mengharungi saingan Liga Puteri B-15 FAM 2024.