Mampukah KDA FC terus cemerlang di tempat lawan menentang Selangor FC esok?

35

Peminat bola sepak terutamanya peminat Selangor FC pastinya tidak sabar untuk menantikan perlawanan pertama pasukan itu dalam aksi Liga Super yang akan berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) esok.

Ini kerana walaupun hujung minggu ini adalah minggu kedua liga tetapi perlawanan menentang Kedah Darul Aman FC (KDA) adalah perlawanan pertama buat Selangor berikutan mereka membuat keputusan untuk tidak beraksi dalam perlawanan pembukaan Liga Super/Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas salah seorang pemainnya terlibat dalam insiden simbah asid.


Keputusan untuk tidak turun beraksi telah menyaksikan JDT diberikan kemenangan percuma 3-0 dan Selangor kini tidak mengutip sebarang mata lagi.

Perlawanan menentang KDA adalah perlawanan tumpuan minggu kedua kerana ia melibatkan dua pasukan gergasi dari Lembah Klang dan Utara di mana ia tidak pernah gagal menjadi aksi yang cukup menarik.

Pasukan Hijau Kuning kini berada dalam momentum terbaik selepas mereka berjaya memperoleh kemenangan pertama ketika menentang PDRM FC tempoh hari sekaligus sudah bayar ‘hutang’ tiga mata yang dikenakan kepada mereka sebelum ini.

Oleh sebab itu, perlawanan esok akan menjadi lebih menarik kerana kedua-dua pasukan sudah pastinya mahu mengutip mata maksimum.

Terdahulu pengendali KDA iaitu Nafuzi Zain nyata berpuas hati dengan persembahan anak buahnya, lebih-lebih lagi mereka berjaya mengutip tiga mata penuh di tempat lawan dan beliau mahu pasukannya teruskan momentum cemerlang di tempat lawan.

Biarpun persiapan dan barisan pemain KDA tidak ‘setaraf’ Selangor yang merupakan antara pasukan yang berbelanja besar musim ini dengan membawa masuk pemain-pemain berkualiti sebagai persiapan untuk AFC Champions League 2 (ACL 2), namun mereka tidak boleh berasa terlalu selesa biarpun bermain di tempat sendiri.

Apa yang membuatkan pertembungan esok lebih menarik adalah kerana kedua-dua pasukan dikendalikan oleh dua ketua jurulatih tempatan muda iaitu Nidzam Jamil dan Nafuzi Zain sekaligus ia pasti menjanjikan aksi yang cukup menarik untuk disaksikan.

Jadi adakah Sang Kenari akan terus terbang tinggi di tempat lawan atau Gergasi Merah Kuning akan menyekat kemaraan? Sama-sama kita saksikan esok.