Malaysia Masters 2024 akan jadi kejohanan pemanas badan sebelum Olimpik
Peminat badminton pastinya tidak sabar menanti pemain badminton negara untuk turun beraksi dalam temasya Sukan Olimpik 2024 Paris yang akan berlangsung kurang dua bulan lagi dan kini kesemua pemain sedang membuat persiapan akhir.
Sebelum Olimpik berlangsung, peminat badminton negara bakal disajikan dengan kejohanan ‘pemanas badan’ iaitu Malaysia Masters 2024 yang akan menyaksikan empat pemain perseorangan terbaik dunia akan turun beraksi.
Biarpun kejohanan berstatus Super 500, namun pemain nombor satu dunia Viktor Axelsen, Anders Antonsen (4), Li Shi Feng (7) dan Kunlavut Vitidsarn (8) serta Loh Kean Yew (10) akan turut beraksi dalam kejohanan ini.
Tidak lupa juga perseorangan utama negara iaitu Lee Zii Jia turut akan beraksi bagi mendapatkan perlawanan kompetitif sebelum temasya terbesar dunia itu berlangsung.
Axelsen yang belum meraih sebarang kejuaraan tahun ini bertekad mahu jadikan Malaysia Masters 2024 sebagai medan kebangkitan sekaligus mahu mengulangi kejayaan menjuarai kejohanan itu pada tahun 2018.
Dalam pada itu, ratu badminton dari Thailand iaitu Ratchanok Intanon akan turut turun beraksi dalam kejohanan dengan misi mahu memperbaiki kedudukan rankingnya selepas bergelut dengan prestasi apabila hanya sekadar memenangi satu kejuaraan sahaja iaitu Spain Masters.
Ratchanok mahu jadikan kejohanan yang akan berlangsung dari 21 hingga 26 Mei ini sebagai tempat untuknya kembali ke prestasi sebenar sebelum temasya Olimpik bermula.
Selain Ratchanok, pemain wanita sensasi seperti Han Yue, Wang Zhi, Zhang Beiwen dan PV Sindhu akan turut beraksi merebut kejohanan.