Hubungan Jesse Lingard dengan Ralf Rangnick semakin parah

100

Nampaknya suasana di kem Manchester United dilihat semakin tegang apabila hubungan di antara Jesse Lingard dan pengendali sementara Ralf Rangnick semakin parah apabila Rangnick mendedahkan pemain itu tidak akan diturunkan pada perlawanan pusingan keempat Piala FA menentang Middlesbrough.

Menurut Rangnick, penyerang sensasi itu tidak diturunkan kerana beliau mahu pemain itu ambil masa untuk ‘kosongkan fikirannya’.


“Jesse telah meminta kebenaran saya dan kelab untuk berinya beberapa hari cuti untuk mengosongkan fikirannya. Dia akan kembali menyertai menyertai skuad pada Isnin depan,”

ujar Rangnick yang dipetik dari Skysports.

Bagaimanapun Lingard menerusi satu postingnya di Twitter miliknya berkata sebaliknya.

“Kelab telah menasihati saya untuk ambil cuti atas sebab peribadi! Tetapi fikiran saya sudah ‘kosong’ dan saya sentiasa bersikap profesional apabila dipanggil dan akan beri 100 peratus.”

Kemelut antara kedua-dua mereka timbul selepas Manchester dilaporkan menghalang Lingard dari meninggalkan pasukan itu pada jendela perpindahan Januari selepas pemain itu mendapat tawaran daripada Newcastle United dan West Ham.

Apa sudah jadi dengan kelab The Red Devils ketika ini? Nampaknya tiada keharmonian yang wujud dalam pasukan itu walaupun dengan kemasukan bintang terkenal Cristiano Ronaldo.

Nampaknya sejak Sir Alex Ferguson meninggalkan pasukan itu sejak 2013, Manchester bergelut untuk mencari pengurus yang mampu mengembalikan zaman kegemilangan kelab itu seperti yang dilakukan oleh Ferguson.

Sehingga kini kelab itu masih lagi belum menemui pengurus tetap yang baru dan Rangnick dijangka akan terus menggalas tanggungjawab pengendali sementara sehingga hujung musim ini.

Terdahulu, Anthony Martial juga telah berhijrah ke Sevilla secara pinjaman kerana mahu minit permainan berikutan dia sering memanaskan bangku simpanan sahaja di Manchester.

Selain Martial, beberapa pemain lain turut dilaporkan mahu berpindah secara pinjaman kerana kekurangan minit permainan.