Hamidin terbuka jika bekas pemain terajui FAM satu hari nanti
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin terbuka untuk mana-mana bekas pemain negara untuk menerajui tampuk kepimpinan sebagai presiden badan induk bola sepak negara.
Hamidin bagaimanapun berkata bekas pemain yang berhasrat untuk menjawat jawatan tersebut perlu sedar bahawa tugas berat menanti.
“Pendapat saya kalau ada seseorang kapten atau pemain bola sepak Malaysia satu hari nanti akan jadi presiden FAM bagus tapi perlu diingat jadi pemain bola sepak dengan jadi presiden untuk uruskan bola sepak adalah dua perbeza yang cukup berbeza.
Tapi mungkin ada individu yang bagus boleh jadi, jadi apa salahnya. Saya tiada halangan tapi samada beliau boleh bawa atau tidak itu adalah perkara lain,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Tambahnya lagi, sebagai presiden bola sepak fokus tidak hanya boleh untuk pasukan kebangsaan menang sahaja sebaliknya perlu beri tumpuan kepada pelbagai aspek.
“Bukan nak masuk Piala Dunia saja tapi banyak lagi tugasan-tugasan yang perlu bertanggungjawab seperti cari kewangan, pengurusan yang baik, perundangan, bola sepak wanita, futsal, bola sepak pantai, VAR, pembangunan akar umbi dan sebagainya.”
Oleh itu, beliau melihat tiada masalah sekiranya seseorang bekas pemain itu mempunyai kaliber untuk mengemudi bola sepak negara.
Dalam pada itu, Hamidin juga berkata terdapat beberapa bekas pemain yang sudah mula bertanya dan belajar mengenai pengurusan bola sepak.
“Setakat ini ada satu atau dua bekas pemain berbuat demikian tapi belum ada yang serius lagi.”