Pihak kelab boleh buat siaran langsung sendiri untuk aksi Piala MFL

156

Jika saingan Piala MFL musim lalu disiarkan secara langsung di saluran YouTube pengelola liga iaitu Malaysian Football League (MFL), namun untuk musim 2024/25 ini tiada lagi siaran langsung.

Perkara tersebut telah dimaklumkan oleh MFL menerusi satu kenyataan media ringkas kepada pihak media.


“Adalah dimaklumkan bahawa pihak MFL tidak akan melaksanakan siaran langsung melibatkan semua perlawanan Piala MFL sepanjang musim Liga Malaysia 2024/25.”

Susulan pihak MFL telah memberikan kebebasan kepada pihak kelab untuk membuat siaran langsung sendiri sekiranya mereka mahu.

Piala MFL juga dikenali sebagai Liga Simpanan 2024–25 adalah merupakan edisi ke-2 Piala MFL, sebuah kejohanan bola sepak remaja Malaysia untuk pemain berumur bawah 23 tahun.

Dengan 13 pasukan bersaing, Piala MFL akan berlangsung dari 20 Mei 2024 hingga 14 April 2025.

Dalam pada itu, keputusan MFL untuk tidak membuat siaran langsung sedikit sebanyak mengecewakan segelintir peminat bola sepak.

Ini kerana Piala MFL adalah platform buat pemain muda untuk memperlihatkan kemampuan sebenar mereka di mana pemain yang menunjukkan kualiti akan diserap ke skuad utama beraksi di Liga Super.

Antara faktor utama yang menyebabkan MFL tidak lagi membuat siaran langsung kerana kos yang tinggi selain sambutan terhadap perlawanan yang kurang memberangsangkan berbanding perlawanan Liga Super.

Pihak kelab mungkin boleh melihat perkara ini dari sudut positif iaitu membuat siaran langsung berbayar yang mana ia secara tidak langsung dapat menjana pendapatan kelab.

Sementara itu, Terengganu FC II yang merupakan juara bertahan pastinya mahu meneruskan kecemerlangan mereka pada musim ini.