Sabah FA mungkin akan mewakili negara ke AFC Women’s Champions League

59

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin memberitahu pihaknya terbuka dengan kehadiran pemain warisan tetapi FAM akan terus memberikan keutamaan kepada pembangunan akar umbi.

Menurut Hamidin, keutamaan kepada pembangunan akar umbi terutamanya kepada pemain-pemain yang berada di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) kerana mereka merupakan pemain negara untuk masa hadapan.


“Dalam Exco saya beritahu kita kena pertingkatkan pembangunan akar umbi kita terutamanya di AMD.

Dari B-12 hingga B-17 di mana mereka ini adalah potensi untuk skuad elit kita. Ini kita perlu ‘polish’ di sana dan mana-mana pemain warisan kalau jurulatih nak ambil pun mestilah perlu ada kualiti lebih dari pemain tempatan kita,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas lanjut mengenai Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang merancang untuk memperkasakan bola sepak wanita termasuk menganjurkan AFC Women’s Champions League.

Untuk merealisasikan perancangan itu, AFC dikatakan akan menyediakan bajet sebanyak lebih RM27 juta.

Hamidin juga memberitahu bahawa beliau sudah pun berbincang dengan ketua jurulatih Malayan Tigress iaitu Soleen Al-Zoubi mengenai perkara ini.

“Sebelum saya datang ke Thailand, coach Soleen sudah mencadangkan untuk pasukan Sabah pergi ke kejohanan itu sekiranya ia menepati kriteria. Saya, Datuk Suraya dan jawatankuasa bersetuju Sabah mewakili kita.

Saya difahamkan Sabah sedang berbincang dengan kerajaan negeri untuk bida sebagai tuan rumah untuk pusingan awal. Jadi kita harap ia akan jadi kenyataan.”

Tambahnya lagi, beliau akan mendapatkan laporan penuh mengenai perkara ini sebaik sahaja beliau pulang ke tanah air.