Apa sudah jadi dengan BAM? Semakin banyak jurulatih tempatan berhijrah ke luar negara

947

Apa sudah jadi dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM)? Badan induk badminton negara ini seperti ‘sudah jatuh ditimpa tangga pula’ apabila satu persatu masalah menghadapi mereka.

Selepas krisis dengan beberapa pemain BAM yang meletak jawatan dari persatuan itu untuk bergerak secara profesional selesai, kini timbul lagi satu isu iaitu seorang jurulatih badminton negara iaitu Rosman Razak telah berhijrah ke luar negara apabila mendapat tawaran sebagai ketua jurulatih skuad badminton Filipina.


Berdasarkan laporan dari media, bekas ketua jurulatih beregu wanita negara itu akan bersama skuad badminton Filipina sehingga Olimpik Paris 2024 dan sekiranya prestasi memberangsangkan, kontraknya akan disambung.

Ini bukanlah pertama atau yang kali kedua jurulatih badminton negara berhijrah ke luar negara sebaliknya sudah banyak yang berhijrah.

Kenapa perkara ini boleh terjadi? Adakah BAM tidak menghargai bakat mereka? Atau ada masalah dalaman BAM yang memaksa kesemua mereka ini ambil keputusan untuk berbakti di negara orang berbanding negara sendiri?

Sumber foto: Team Malaysia Facebook

Itulah persoalan yang timbul dari orang ramai terutamanya peminat badminton yang mahu penjelasan daripada persatuan itu.

Selain Rosman, terdapat lapan lagi jurulatih tempatan yang kini berada di luar negara antaranya Tam Kim Her, Jeremy Gan dan Lee Wan Wah menjadi jurulatih di Jepun; Wont Tat Meng pula di Korea Selatan.

Sementara itu, Yap Kim Hock dan Lim Peck Siah pula melatih pemain badminton di Singapura, manakala Iskandar Zulkarnain pula di Ireland.

Tidak dapat dinafikan BAM merupakan nadi badminton negara kerana persatuan itu mempunyai kepakaran, kemudahan fasiliti bertaraf dunia yang telah berjaya melahirkan ramai pemain-pemain badminton bertaraf dunia.

Menurut Presiden BAM, Tan Sri Norza Zakaria, ketika ini mereka mempunyai sebanyak 70 pemain dari usia 13 hingga 18 tahun di bawah naungan mereka.

Kesemua pemain pelapis ini dijamin mendapat latihan bertaraf dunia, tetapi apabila seseorang pemain itu sudah berjaya mencipta nama mereka ambil keputusan untuk keluar dari BAM.

Ini telah menimbulkan pelbagai spekulasi kurang enak sekaligus mencalarkan imej dan reputasi BAM yang sebelum ini sangat dihormati di seluruh dunia.

Isu dalaman BAM ini perlu diselesaikan dengan segera demi kemajuan sukan badminton dan juga kepentingan negara.

Lakukan rombakan sekiranya perlu kerana Malaysia kini bukanlah antara kuasa besar badminton dunia lagi berikutan semakin banyak negara yang sebelum ini sering menjadi ‘lauk’ kini memperlihatkan kemajuan yang sangat memberangsangkan.

Sesuatu perlu dilakukan segera demi memastikan Malaysia terus menjadi kuasa besar badminton setaraf China.