Bola tampar pantai Terengganu akan ke Indonesia untuk persiapan SUKMA 2024
Bahang Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang akan berlangsung di Sarawak pada bulan Ogos depan semakin dirasai terutamanya buat pasukan bola tampar pantai Terengganu yang kini sedang membuat persiapan menjelang temasya itu.
Menurut jurulatih pasukan bola tampar pantai SUKMA Terengganu, Muhammad Afiq Solihin Idris, mereka sudah pun mula menjalani latihan sejak Ogos tahun lalu bagi membentuk sebuah pasukan yang mantap.
“Kita memulakan latihan sejak dari Ogos lepas sampai ke Ogos tahun ini yang mana kita sudah hampir lapan bulan berlatih.
Dari segi keserasian pemain kita sudah mencapai tahap 70% jadi kita akan gilap lagi skil-skil pemain manakala dari segi fizikal pula kesemua pemain kini berada pada tahap 80% cuma perlu tambah sedikit dari aspek taktikal dan teknikal,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Selain menjalani latihan di negeri itu, Afiq turut memberitahu bahawa pasukannya akan terbang ke Lombok, Indonesia untuk menjalani latihan selama dua bulan di sana sebagai persedia menjelang temasya.
“Ya ada kita akan berlatih di Lombok selama dua bulan. Tujuan latihan di sana adalah untuk mendapatkan ‘sparring partner’ yang lebih bagus di mana jurulatih di sana baru sahaja memenangi kejohnan dunia.”
Dalam pada itu, Afiq sedar sasaran pingat emas yang diletakkan kepada pasukannya namun beliau tidak berasa tertekan dengan perkara itu sebaliknya berkata mereka akan memberi fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan.
“Dari pihak negeri sendiri mereka sasarkan pingat emas tapi untuk saya nak ia berjalan ‘step by step’ jadi kita selesaikan satu-satu dari peringkat kumpulan, suku akhir, separuh akhir dan perlawanan akhir kerana saya tidak mahu ‘stress’kan pemain.”
Sementara itu, beliau juga tidak bimbang dan yakin mereka tidak akan berdepan masalah besar untuk menyesuaikan diri dengan venue di Sarawak nanti kerana gelanggang di Terengganu merupakan antara yang ‘hardcore’.