Ini kali pertama dan terakhir saya beraksi di SUKMA jadi saya mahu buat yang terbaik – Adam Hanif
Kapten pasukan bola tampar pantai SUKMA Terengganu, Adam Hanif teruja apabila kali pertama dapat mewakili Terengganu ke temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan berlangsung di Sarawak pada bulan Ogos depan.
Menurut Adam, peluang yang diberi akan digunakan sebaik mungkin untuk menyumbang kejayaan buat pasukannya.
“Persaan saya teruja sebab ini kali pertama saya dapat bermain di SUKMA yang juga merupakan kali terakhir jadi saya mahu buat yang terbaik untuk Terengganu, insyaAllah,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Adam juga berkata persiapan pasukan berjalan dengan lancar di mana mereka sudah pun menjalani latihan selama lapan bulan dan kesemua pemain sudah mendapat keserasian antara satu sama lain.
Dengan persiapan rapi disamping sokongan daripada pelbagai pihak, Terengganu meletak sasaran pingat emas untuk pasukan bola sepak pantai untuk temasya kali ini.
Dalam pada itu, selain pingat emas SUKMA, Adam turut mempunyai sasaran peribadinya iaitu mahu mewakili Malaysia selepas ini.
“Saya harap dapat mewakili Malaysia selepas tamat temasya SUKMA ini.”
Sementara itu, Adam sedar cabaran besar menanti mereka pada temasya SUKMA nanti di mana beliau berkata pasukan Perak merupakan antara pasukan terkuat kerana mereka mempunyai pemain kebangsaan.