Masih relevankah Safiq Rahim sarung jersi Harimau Malaya?

531

Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim baru-baru ini telah meluahkan hasratnya untuk menyarung jersi Harimau Malaya sekali lagi sebelum bersara dari dunia bola sepak.

Safiq menerusi satu temubual bersama sebuah stesen televisyen sukan tempatan berkata beliau sudah bersedia sekiranya diberi peluang untuk beraksi di bawah skuad kendalian ketua jurulatih baru negara iaitu Kim Pan-gon.


Namun apa yang menjadi persoalan peminat adalah apakah Safiq masih lagi relevan untuk bermain dengan skuad kebangsaan?

Tidak dapat dinafikan Safiq merupakan salah seorang pemain kebangsaan yang cukup berpengalaman di pentas antarabangsa dan terbaik dalam sejarah bola sepak negara apabila pernah menjulang Piala Suzuki 2010, julang Piala AFC 2015 dan penjaring terbanyak Piala AFF 2014.

Sehingga kini boleh dikatakan skuad negara masih belum menemui pengganti Safiq, namun dengan usianya yang kini mencecah 34 tahun rasanya tiada keperluan untuk pemain ini dipanggil untuk skuad kebangsaan.

Bola sepak ketika ini sudah berbeza dari sedekad yang lalu apabila boleh dikatakan hampir kesemua pasukan di dunia kini mengamalkan permainan pantas, jadi dengan usianya ketika ini rasanya ramai lagi pemain muda berbakat lain mampu galas tanggungjawab itu.

Peminat masih lagi kecewa dengan kegagalan skuad kebangsaan ketika saingan Piala AFF 2020 yang berlangsung di Singapura tahun lalu sehinggakan ia menjadi bahan kecaman oleh seluruh rakyat Malaysia.

Sumber foto: The Sportivo

Malah pengendali skuad kebangsaan ketika itu iaitu Tan Cheng Hoe mengambil tanggungjawab sepenuhnya dengan meletak jawatan sebagai ketua jurulatih.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kemudian telah melantik ketua jurulatih baru dari Korea Selatan, Kim Pan-gon yang akan membentuk pasukan baru dan membuat persiapan menjelang perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung pada Jun depan.

Rata-rata peminat mengharapkan pengendali baru skuad kebangsaan akan menyenaraikan pemain-pemain yang sedang dalam prestasi terbaik dan bukannya hanya bersandarkan reputasi dan pengalaman tetapi kurang minit permainan.

Berbalik kepada Safiq, rasanya tiada keperluan untuk Kim Pan-gon memanggil pemain ‘veteran’ ini atau pemain-pemain senior lain yang tidak beraksi baik sepanjang musim lalu termasuklah pemain naturalisasi.

Peminat tegar bola sepak tanah air pasti ingat dengan ‘tragedi’ yang berlaku pada tahun 2016 apabila tatkala skuad kebangsaan menagih khidmat beberapa pemain utama, empat tonggak utama ketika itu iaitu Safiq, Aidil Zafuan, S Kunalan dan Amirulhadi Zainal telah mengambil keputusan untuk bersara dari skuad kebangsaan.

Alasan yang diberikan ketika itu adalah untuk memberi pemain muda peluang. Keempat-empat mereka bagaimanapun kemudian membuat U-turn apabila kembali menyarung jersi kebangsaan pada tahun 2017.

Memandangkan usianya sudah meningkat, rasanya sudah tiba masanya untuk mereka kotakan ‘janji’ mereka sebelum ini iaitu beri peluang kepada pemain muda lain untuk beraksi.

Malaysia tidak ketandusan pemain berbakat, tetapi sering diketepikan kerana mahu membariskan pemain-pemain yang mempunyai reputasi dan pengalaman sahaja.

Pihak FAM juga perlu memainkan peranan penting iaitu memberi kebebasan sepenuhnya kepada ketua jurulatih untuk memilih sendiri pemain-pemain yang sesuai dengan taktikalnya dan bukan pemain ‘kegemaran’ pihak tertentu.

Jika tiada campur tangan dari mana-mana pihak, nescaya pasukan kebangsaan pasti akan memperlihatkan kemajuan sekaligus mampu menjadi salah sebuah kuasa besar bola sepak di Asia Tenggara seperti satu ketika dahulu.