Sharbinee Allawee harap FAM akan jadikan SSMZA sebagai salah satu venue untuk Harimau Malaya
Bekas penjaga gol kebangsaan, Sharbinee Allawee berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat mempertimbangkan untuk menjadikan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) sebagai salah satu venue untuk pasukan kebangsaan Harimau Malaya.
Menurut Sharbinee, kualiti SSMZA terutamanya padang boleh dikatakan setanding dengan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
“Kita tengok kualiti dekat SSMZA sudah setanding SNBJ dari segi padang dan pengurusan, jadi saya harap pihak FAM boleh menggunakan padang SSMZA sebagai salah satu venue untuk perlawanan pasukan kebangsaan.
Sekaligus ia dapat menarik peminat di Terengganu dan di negeri jiran untuk datang memeriahkan lagi perlawanan peringkat antarabangsa,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dalam pada itu, Sharbinee merupakan antara pemain yang bertuah apabila pernah bermain di dua stadium di negeri itu iaitu Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) dan SSMZA ketika menyarung jersi pasukan negeri itu.
Beliau mengakui banyak pengalaman manis dan pahit dirasai sepanjang bermain di kedua-dua stadium itu.
“Kalau cakap perbezaan memang banyak beza antara kedua-dua stadium sebab kalau dulu boleh dikatakan SSINS merupakan stadium keramat buat pasukan Terengganu, bila main di situ semangat dia lain macam sikit.
Tapi SSMZA pun ada kelebihan juga di mana kapasiti stadium situ lebih besar. Tapi bagi saya stadium yang beri kelebihan bagi saya SSINS.”
Sharbinee turut berkongsi pengalaman yang tidak boleh dilupakan ketika bermain di SSMZA di mana insiden tercetus pada perlawanan menentang Lions XII.
“Kenangan saya di SSMZA banyak juga antaranya adalah ketika lawan Lions XII di mana kami tewas dek gol kontroversi yang mana ia telah menyebabkan ambulans terbakar jadi itu adalah kenangan yang saya tidak boleh lupa.”