Pearly Tan-M Thinaah mahu rangkul kejuaraan Malaysia Masters 2024
Pasangan beregu badminton wanita utama negara, Pearly Tan dan M. Thinaah meletak sasaran untuk cuba merangkul kejuaraan Malaysia Masters 2024 yang sedang berlangsung ketika ini di Axiata Arena.
Mereka meletak sasaran tersebut selepas hampir sebulan tidak menyertai sebarang kejohanan termasuk tidak menyertai skuad Piala Uber, oleh itu mahu jadikan kejohanan bertaraf Super 500 itu sebagai medan untuk memperkemas permainan sebelum ke Sukan Olimpik Paris 2024 pada Julai depan.
“Pastinya setiap pemain mahukan kemenangan meraih gelaran, kita pun sama. Apa yang penting ialah untuk kekalkan momentum, langkah demi langkah, fokus pada permainan kami sendiri serta elak dari sebarang kecederaan,”
ujar Pearly dalam satu kenyataan media.
Terdahulu, pasangan ini telah berjaya menewaskan pasangan beregu dari India, Simran Singhi-Ritika Thaker 21-17, 21-11 pada perlawanan pusingan 16 sekaligus menempat tiket ke suku akhir.
Dalam pada itu, Thinaah pula berkata walaupun mereka berjaya memperoleh kemenangan namun mereka masih perlu perbaiki lagi beberapa kelemahan dan kejohanan Malaysia Masters merupakan platform yang tepat buat mereka untuk mempersiapkan diri sebelum ke Olimpik.
“Kami sangat teruja untuk beraksi di Malaysia Masters, terutamanya di laman sendiri selepas lama tidak beraksi.
Kami bermula awalnya agak perlahan tetapi kami mula membaiki momentum di set kedua. Kami cuba beberapa perkara baru di sini dan diharap akan terus memperbaiki rentak.”
Malaysia Masters 2024 yang berlangsung dari 21 hingga 26 Mei ini menawarkan jumlah wang hadiah terkumpul lebih RM1.6 juta.