Sikh Izhan, Syamer Kutty & Adib Raop pemain yang dimaksudkan Akmal Rizal akan sertai Harimau Malaya?
Ketua jurulatih Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli telah memuat naik satu kenyataan di media sosialnya telah mendapat perhatian ramai peminat bola sepak tanah air yang kini sudah mula berteka teki siapakah pemain yang dimaksudkan itu.
Dalam kenyataan ringkas Akmal di platform X, beliau telah memberitahu bahawa tiga pemainnya akan menyertai pasukan kebangsaan Harimau Malaya yang dijangka akan memulakan kem latihan pusat minggu hadapan.
“Alhamdulillah….3 pemain Penang FC akan sertai Harimau Malaya,” tulisnya.
Biarpun tidak menamakan ketiga-tiga pemain itu, namun rata-rata peminat sudah mula mendapat bayangan pemain manakah yang akan dipanggil oleh ketua jurulatih pasukan kebangsaan Kim Pan-gon itu nanti.
Berdasarkan senarai pemain Penang ketika ini dua nama yang dikatakan ‘sah’ akan menyertai pasukan kebangsaan adalah Syamer Kutty Abba dan Sikh Izhan Nazrel.
Ini kerana semua sedia maklum bahawa Syamer Kutty merupakan salah seorang pemain yang beraksi di Piala Asia 2023 di Doha, Qatar baru-baru ini.
Alhamdulillah…. 3 pemain Penang Fc akan sertai Harimau Malaya 🤲💪 pic.twitter.com/8PA8MflWxi
— Akmal Rizal @ AR14 (@dekman14) May 23, 2024
Penjaga gol Sikh Izhan juga pemain yang bersama pasukan senior di Piala Asia dan beliau sekali lagi menyarung jersi pasukan kebangsaan B-23 ketika Piala Asia B-23 2024.
Jadi peminat tidak hairan dan sudah menjangkakan bahawa kedua-dua pemain ini pastinya akan dipanggil oleh Pan-gon untuk memperkuatkan pasukan.
Bagaimanapun apa yang menjadi persoalan peminat ketika ini adalah seorang lagi pemain yang akan dipanggil. Siapakah pemain itu?
Namun berdasarkan komen-komen peminat mengenai seorang lagi pemain di mana ramai yang memberi bayangan bahawa pemain pertahanan Adib Abdul Raop adalah pemain ketiga dari skuad Harimau Kumbang yang akan dipanggil.
Nama Adib Raop menjadi sebutan dek persembahan cemerlang yang dipamerkan dalam dua aksi Liga Super baru-baru ini.
Jadi sama-sama kita tunggu dan lihat samada benar nama ketiga-tiga pemain ini akan dipanggil.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dijangka akan mengumumkan senarai pemain yang dipanggil dalam masa terdekat ini bagi persiapan menjelang baki dua perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada bulan Jun ini.