Engku Shakir teruja dapat ‘called-up’ Harimau Malaya, janji akan beri aksi terbaik jika diturunkan
Pemain muda Terengganu FC (TFC), Engku Nur Shakir teruja apabila namanya tersenarai dalam 26 pemain yang dipanggil ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon untuk kem latihan pusat Harimau Malaya bermula Isnin, 27 Mei 2024 bagi menghadapi perlawanan kelima dan keenam Kumpulan D, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
“Pertama sekali Alhamdulillah dapat ‘called-up’ kali ini. Perasaan ini memang semua pemain ada nak bermain untuk pasukan kebangsaan jadi kali ini nama saya ada saya cukup bersyukur dan akan buat yang terbaik.
Kalau jurulatih beri saya peluang, insyaAllah saya akan buat yang terbaik dan akan beri kerjasama untuk diri saya dan juga untuk pasukan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Skuad negara dalam misi sukar apabila perlu memenangi baki dua perlawanan menentang Republik Kyrgyz di Bishkek pada 6 Jun 2024 dan menentang Chinese Taipei di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Jun 2024 sekiranya mahu layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak secara automatik ke Piala Asia 2027.
Terdahulu, Pan-gon terpaksa melakukan sedikit perubahan dengan memanggil beberapa pemain baru selepas terpaksa mengenepikan empat tonggak utama iaitu Faisal Halim, Arif Aiman, Azam Azmi dan Romel Morales dek kecederaan.
Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai persiapannya menjelang perlawanan ketiga Liga Super menentang Kelantan Darul Naim FC (KDN), Engku Shakir sudah bersedia sekiranya diturunkan oleh ketua jurulatih Tomislav Steinbruckner.
Tambahnya lagi, beliau tidak bimbang dengan kehadiran Safawi Rasid kerana ia akan mewujudkan situasi persaingan sihat antara beliau dan pemain itu untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.
“Dalam bola sepak semestinya ada saingan tapi persaingan sihat. Ia berdasarkan prestasi juga dan jika jurulatih beri peluang kepada saya atau Safawi kami harus buktikan kemampuan dan siapa ‘perform’ beliau akan kekal dalam pasukan.”