Pemain sudah bersedia untuk aksi menentang TFC, kami mahukan kemenangan – Oday Kharoub

95

Pemain import dan juga ketua pasukan Kelantan Darul Naim FC (KDN), Oday Kharoub memberitahu bahawa pasukannya sudah bersedia untuk perlawanan Liga Super menentang Terengganu FC (TFC) pada hari ini dengan misi untuk memperoleh kemenangan pertama.

Biarpun tewas dalam dua aksi pertama, Oday Kharoub yakin dengan kemampuan pasukannya untuk terus berjuang dan memberikan yang terbaik untuk dapatkan keputusan positif.


“Tiada masalah dengan keputusan sebelum ini kerana kami sentiasa akan berjuang untuk memperoleh kemenangan.

Esok (hari ini) adalah perlawanan penting bagi kami dan kesemua pemain sudah bersedia dan semua mahukan kemenangan, jadi insyaAllah esok (hari ini) akan menjadi perlawanan yang baik buat kami,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, pemain yang berasal dari Palestin itu berasa cukup gembira dan berterima kasih kepada Malaysia kerana sentiasa menyokong negaranya yang ditindas oleh rejim Zionis.

“Saya gembira dapat datang ke Malaysia kerana seluruh negara ini menyokong Palestin dan peminatnya pula istimewa jadi saya berasa bangga dapat bermain untuk KDN.”

Sementara itu, KDN kini berada di kedudukan ke-11 liga selepas tewas tipis kepada Sri Pahang FC 1-0 dan Sabah FC 3-2 sebelum ini.