Spekulasi tak benar, KDN berada dalam keadaan terbaik – Rezal Zambery
Penolong ketua jurulatih Kelantan Darul Naim FC (KDN), Rezal Zambery menyangkal spekulasi yang mengenai tunggakan gaji pemain termasuk peletakan jawatan Timbalan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab itu.
Menurut Rezal, pasukan berada dalam keadaan terbaik dan kesemua mereka menerima gaji seperti biasa.
“Saya rasa memang tiada masalah pun kerana setakat ini Alhamdulillah kita telah menerima gaji tepat pada waktunya dan kita juga difahamkan kedua-dua orang penting KDN mempunyai tugas hakiki yang saya rasa lebih penting untuk mereka galas.
Tapi bagi saya, kita yang berada di KDN sentiasa mendoakan yang terbaik untuk semua dan yang penting sekali pemain, jurulatih dan pengurusan terus bergerak ke hadapan jadi saya rasa segala spekulasi sebelum ini tidak benar dan kita di KDN dalam keadaan baik serta masing-masing dalam keadaan bersemangat,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Terdahulu, Datuk Zamri Ismail dan Wan Mohd Zul Ikman melepaskan jawatan masing-masing kerana mahu beri tumpuan kepada urusan lain yang lebih penting buat mereka.
Kedua-dua figura ini merupakan individu yang bertanggungjawab dalam pembaharuan kelab, meletakkan KDN pada kedudukan sekarang untuk terus relevan dalam industry bola sepak Malaysia.
Dalam pada itu, menjelang perlawanan ketiga Liga Super menentang Terengganu FC malam ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Rezal berkata pasukannya sudah bersiap sedia untuk cuba mendapatkan tiga mata pertama mereka musim ini.
Tambahnya lagi, pasukannya sebelum ini pernah bertemu dengan pasukan Sang Penyu ketika pra musim sekaligus mereka sudah dapat mengenal pasti sedikit kekuatan dan kelemahan pasukan lawan.
“Sebelum ini kita pernah lawan dengan TFC masa pra musim tempoh hari jadi sedikit sebanyak kita sudah mengetahui kekuatan dan kelemahan pasukan lawan.
Mereka juga sebelum ini sudah bertemu dengan dua pasukan iaitu Perak FC dan Penang FC jadi kita ada buat video analisis. Sudah pasti taktikal sudah dibuat oleh jurulatih jadi apa yang penting sekarang ini adalah pelaksanaan pemain-pemain untuk merealisasikan untuk mendapatkan mata.”