Pemain sepak takraw jalani latihan bina diri di kem komando untuk persiapkan diri – Ahmad Jais
Seluruh rakyat Malaysia gembira apabila pasukan sepak takraw negara bagi kategori beregu dan regu berjaya menjadi juara Sepak Takraw Piala Dunia ISTAF yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Kejayaan berganda ini lebih manis apabila pasukan negara akhirnya berjaya memecah dominasi Thailand sekaligus mengembalikan gelaran gergasi dunia sepak takraw kepada Malaysia.
Kejayaan tidak datang dengan mudah sebaliknya dari kerja keras yang dilakukan oleh semua pihak yang terlibat.
Menurut ketua jurulatih pasukan sepak takraw negara iaitu Ahmad Jais Baharun, untuk memastikan setiap pemain mempunyai jati diri tinggi dan bermotivasi pihaknya telah merangka latihan jati diri yang dilakukan di kem komando.
“Sebenarnya kita dari segi persiapan telah bermula pada awal tahun tempoh hari dengan kerjasama MSN (Majlis Sukan Negara) dan ISN (Institut Sukan Negara) yang mana kita telah merangka beberapa program khusus untuk menguatkan motivasi dan jati diri pemain.
Kita telah menjalani latihan kem bina diri di VAT 69 Komando di Ulu Kinta selama empat hari, jadi daripada situ juga kita dapat melihat prestasi pemain dan juga semangat setiakawan semakin meningkat dari hari ke hari.
Pihak ISN juga menyediakan pakar psikologi untuk memberikan pemain lebih keyakinan semasa bertanding di dalam gelanggang lebih-lebih lagi bermain di hadapan penyokong sendiri,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dalam pada itu, Ahmad Jais juga tidak menyangka bahawa mereka berjaya memperoleh kemenangan berganda kerana sasaran awal mereka adalah untuk cuba menang sekurang-kurangnya satu kategori.
Beliau juga berharap pasukannya akan meneruskan momentum kecemerlangan mereka untuk kategori berpasukan pula yang bermula semalam.
“Syukur Alhamdulillah atas kejuaraan berganda jadi mudah-mudahan prestasi pasukan kita akan terus meningkat dari masa ke semasa bagi cabaran acara berpasukan yang bermula hari ini (semalam).”