Manzoor Azwira, Wan Rohaimi calon penolong jurulatih Kim Pan-gon?

259

Peminat bola sepak tanah air kini sedang ternanti-nanti siapakah penolong ketua jurulatih tempatan yang akan membantu Kim Pan-gon untuk membentuk pasukan skuad kebangsaan yang ampuh.

Sebelum ini nama dua jurulatih muda iaitu Nidzam Jamil dan Nafuzi Zain disebut-sebut bakal menggalas tanggungjawab itu.


Bagaimanapun kedua-dua mereka tampil menolak sekiranya dipilih kerana mahu menghormati kontrak bersama kelab masing-masing.

Kini muncul pula dua lagi nama jurulatih muda yang dikatakan berkemungkinan besar akan dilantik sebagai penolong kepada Kim Pan-gon iaitu Manzoor Azwira dan Wan Rohaimi.

Mungkin ramai tidak mengenai kedua-dua individu ini, jadi ini adalah sedikit sebanyak butiran kedua-dua jurulatih.

Manzoor Azwira

Sumber foto: Wan Rohaimi IG

Nama jurulatih Mazoor Azwira sangat terkenal di kalangan peminat Penang FC kerana beliau adalah individu yang bertanggungjawab dalam membawa perubahan kepada gaya permainan Penang, merah dua kali tiket ke Liga Super 2020 dan 2021 – kelayakan pada 2020 dibatalkan berikutan masalah tunggakan gaji, malah membawa Penang menjuarai saingan Liga Perdana buat pertama kali dalam sejarah.

Walaupun Penang musim ini akan dikendalikan oleh Tomas Trucha, namun pihak pengurusan masih mengekalkan Manzoor sebagai Penolong Jurulatih 1 dan telah menghantarnya untuk sertai kursus AFC Pro Diploma, sebagai persedian untuk mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih pada tahun 2023.

Jika dilihat dari resume Manzoor, beliau mempunyai rekod yang cemerlang bersama Penang sehingga pasukan itu menyediakan pelan jangka panjang untuk memastikan beliau terus kekal bersama pasukan Harimau Kumbang itu.

Bagaimanapun, adakah Manzoor mahu atau tidak meninggalkan pasukan Penang untuk berbakti kepada skuad kebangsaan? Sama-sama kita tunggu respon daripadanya.

Wan Rohaimi Wan Ismail

Sumber foto: Manzoor Azwira FB

Seorang lagi calon penolong jurulatih kepada Kim Pan-gon adalah ketua jurulatih pasukan PDRM FC iaitu Wan Rohaimi Wan Ismail. Walaupun baru sahaja bergelar sebagai ketua jurulatih, namun beliau sudah pun berjaya mencuri perhatian apabila pernah mengejutkan pendahulu Liga Perdana musim lalu iaitu Sarawak United.

Walaupun baru pertama kali terlibat dalam kancah Liga Malaysia sebagai ketua jurulatih, namun Wan Rohaimi dilihat mempunyai potensi menjadi antara pelapis jurulatih tempatan yang boleh diketengahkan.

Apa yang membuatkan beliau cepat menyesuaikan diri dengan dunia kejurulatihan berikutan pengalaman luasnya dalam dunia bola sepak berikutan beliau merupakan bekas pemain bola sepak profesional.

Sepanjang karier bola sepaknya sebagai pemain, beliau pernah membantu Terengganu memenangi Piala Malaysia, selain menjadi tonggak utama membantu Kelantan menjuarai Liga Super. Malah bekas pemain kebangsaan ini pernah menjaringkan satu gol ketika Malaysia menentang Arsenal.

Jadi melihat pengalaman yang ada pada Wan Rohaimi, beliau antara calon yang paling sesuai kerana mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang cukup mendalam mengenai bola sepak tanah air.

Sumber foto: HKFP

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu segera memuktamadkan siapakah jurulatih tempatan yang akan dilantik membantu Kim Pan-gon kerana beliau perlu mempersiapkan skuad negara secepat mungkin.

Ini kerana pasukan kebangsaan mempunyai perlawanan penting iaitu Kelayakan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung pada Jun depan.

FAM perlu memastikan mengatur beberapa perlawanan persahabatan bagi memudahkan tugas Kim Pan-gon mengenal pasti pemain dan taktikal yang akan diguna pakai bagi membentuk sebuah pasukan yang mantap.