PERODUA hidupkan impian penerus legasi wira negara
Malaysia dan badminton tidak boleh dipisahkan! Disebabkan itu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan usahama PERODUA telah mewujudkan Program Pembangunan Bakat Badminton (BTDP) sejak tahun 2018.
BTDP merupakan program untuk mencungkil bakat di kalangan murid diperingkat sekolah rendah dengan misi untuk mereka dapat mewakili negara suatu hari nanti.
Bersempena dengan kejohanan PERODUA Malaysia Masters 2024 yang berlangsung di Axiata Arena baru-baru ini seramai 27 pelajar termasuk 18 daripada BTDP hadir untuk memberikan sokongan buat pemain-pemain Malaysia yang berentap.
Pelajar yang hadir ini adalah peserta BTDP yang diserap ke Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) manakala sembilan daripada terpilih ke sekolah berkenaan menerusi kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).
Muhammad Luqman Hakim Yusof Daneel, 17 yang merupakan seorang peserta program menyatakan impiannya untuk menjadi seperti legenda negara, Rashid Sidek ataupun bekas juara dunia lima kali, Lin Dan dari China.
“Saya pernah menjalani latihan di bawah kendalian Rashid Sidek pada usia 12 tahun sebelum terpilih menyertai BTDP dan ke SSBJ, oleh kerana itu saya ingin mencontohi beliau,”
katanya yang berasal dari Selangor.
Seorang lagi peserta Datu Anif Isaac Datu Asrah berkata, impiannya adalah untuk menjadi seperti bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei.
“PERODUA banyak membantu kami terutama dalam menaja kos latihan, keperluan serta pertandingan di luar negara sekaligus membuka laluan buat kami mencipta nama sebagai pemain badminton yang terbaik,”
kata murid berusia 17 tahun yang berasal dari Sabah itu.
Seorang peserta, Dania Sofea Zaidi,17, berasal dari Johor berkata ini adalah peluang keduanya menyaksikan PERODUA Malaysia Masters.
“Semangat juang saya semakin kuat setiap kali menyaksikan kem negara beraksi di sini. Impian saya ialah untuk menjadi seperti jaguh perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei,”
katanya.
Dalam pada itu, kesemua peserta BTDP itu juga diberikan peluang bersama-sama pengunjung bertemu dengan beregu kedua negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei pada sesi Temu Mesra.
BTDP yang mempunyai 140 jurulatih ketika ini melatih seramai 2,800 murid-murid sekolah rendah di 70 pusat pembangunan badminton yang dikenal pasti di seluruh negara.
Kebanyakkan anak-anak ini adalah berasal daripada golongan keluarga berpendapatan sederhana yang mana PERODUA dan KPM mengambil inisiatif mengubah kehidupan anak-anak ini dengan menghidupkan impian dan membuka laluan buat mereka mewakili sekolah, negeri dan mungkin satu hari nanti mewakili Malaysia.
Sementara itu, Mohd Nazri Nasir yang merupakan jurulatih badminton di SSBJ berkata anak didiknya bukan sahaja melengkapkan diri untuk saingan kebangsaan tetapi juga sudah bersedia untuk beraksi diperingkat Kejohanan Remaja Asia dan selepas ini ke Kejohanan Remaja Dunia.
“Suasana di kejohanan ini dapat menerapkan lagi semangat patriotik dan pendedahan di kalangan peserta BTDP terutama untuk menjadi wira badminton suatu hari nanti khususnya dalam menghadapi tekanan di gelanggang sebenar sejajar dengan sasaran SSBJ untuk melahirkan atlet negara,”
katanya.