Nurshamil Ghani mahu bantu PT Athletic FC ke Liga Super

63

Penyerang pasukan PT Athletic FC, Nurshamil Ghani mahu pamer aksi cemerlangnya bagi membantu pasukannya memperoleh kejayaan dalam saingan Liga A1 (Liga M3) sekaligus bantu pasukannya ke Liga Super nanti.

Menurut Nurshamil, masih banyak perkara yang beliau perlu lakukan termasuk tingkatkan prestasi dirinya sendiri.


“Itu semestinya sasaran saya setiap musim dan tahun ini saya kembali bermain di liga bawah (Liga A1) jadi di situ saya cukup bersemangat untuk meningkatkan lagi prestasi dan cuba mencapai sesuatu yang lebih baik sekaligus membawa pasukan ini ke Liga Super,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau yang merupakan bekas pemain TRW Kelantan FC yang beraksi di Liga Super pada musim lalu terpaksa kembali bermula dari bawah selepas pasukan itu ‘gulung tikar’ dek masalah kewangan yang parah.

Tambahnya lagi, walaupun bermain di liga semi-profesional namun beliau perlu membuat persiapan rapi dari segi fizikal dan mental kerana saingan Liga A1 berjalan dengan tempoh yang panjang dengan 15 pasukan bersaing.

Dalam pada itu, Nurshamil yang merupakan watak penting dalam membawa Kelantan kembali ke Liga Super sebelum ini kecewa dengan berita penarikan diri pasukan itu dari saingan Liga A1 dan berharap mereka akan bangkit.

“Sudah semestinya saya berasa sedih kerana kita tahu sejarah pasukan Kelantan dan saya juga pernah menyarung jersi pasukan Kelantan jadi memang terasa dengan penarikan diri pasukan itu.

Kita tahu aura Kelantan tapi apa yang kita boleh buat, keputusan sudah muktamad.”