Jika pemain beri komitmen tinggi dan kerjasama, tiada yang mustahil untuk ke Liga Super – Indra Putra

52

Bekas pemain kebangsaan yang kini menyarung jersi pasukan PT Athletic FC iaitu Indra Putra Mahayuddin memberitahu sasaran untuk ke Liga Super bukan sesuatu yang mustahil untuk dicapai oleh pasukannya.

Menurut Indra, sekiranya setiap pemain memberi kerjasama penuh dan sentiasa beri komitmen tinggi apabila beraksi, tidak mustahil mereka mampu untuk capai sasaran mereka itu nanti.


“Alhamdulillah saya rasa bersyukur dengan pelancaran yang baik, insyaAllah satu permulaan yang baik bagi pasukan PT Athletic FC dan untuk berada di tahap ini bukan mudah dan kita sendiri tahu yang di Liga A1 banyak cabaran serta pasukan-pasukan yang hebat.

InsyaAllah kami akan bagi yang terbaik dan kami ada sasaran sendiri untuk melayakkan diri ke Liga Super.

Jikalau semua pemain bagi kerjasama yang baik, komitmen yang tinggi tiada yang mustahil,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Dalam pada itu, biarpun baru dalam kancah Liga A1 namun pasukan PT Athletic merupakan pasukan pilihan pada musim ini berikutan ia menampilkan ramai bekas pemain kebangsaan dan Liga Super.

Selain Indra, beberapa pemain lain yang turut memperkuatkan pasukan itu adalah Syazwan Zainon, Fandi Othman, Amri Yahya, Hafiz Ramdan dan ramai lagi.

Sementara itu, Indra berkata walaupun usianya sudah menjangkau 42 tahun namun masih lagi mampu memberi impak positif kepada pasukannya.

“Saya sentiasa menjaga stamina dan kecergasan untuk pastikan saya sentiasa berada pada tahap terbaik untuk saya kerana A1 adalah liga yang sangat laju dan tak sama seperti Liga Super, jadi itu adalah cabaran untuk saya.”