Sasaran kami mahu PT Athletic FC dikenali oleh semua – Arzawiyah Ab Rahman

223

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PT Athletic FC, Arzawiyah Ab Rahman berkata sasaran utama kelabnya ketika ini adalah untuk orang ramai mengenali kelab itu yang akan beraksi dalam saingan Liga A1 pada musim ini.

Menurut Arzawiyah, sebagai kelab yang baru pihaknya tidak mahu meletak sasaran yang terlalu tinggi seperti mahu layak ke Liga Super musim hadapan, tapi mahu pasukannya beri saingan sengit kepada semua pasukan yang bertanding.


“Kita tidak letak sasaran yang terlalu tinggi sebab kita kelab baru. Kita cuma mengharapkan supaya pasukan bermain dengan penuh semangat dan memberikan saingan kepada semua pasukan yang bertanding.

Sasaran itu biasa kerana setiap pasukan pasti ada sasaran tapi sasaran kita sebagai pasukan baru untuk dikenali di mata luar. Itu sasaran kami buat masa sekarang,”

katanya.

Beliau pada masa sama berkata mereka tidak membuat percaturan terburu-buru sebaliknya mengambil keputusan untuk bersaing di Liga A1 terlebih dahulu kerana mahu melihat kekuatan pasukan terlebih dahulu.

“Jadi bila kita yakin yang pasukan kita ini ada kekuatan barulah kita akan pergi ke bahagian seterusnya.”

Dalam pada itu, Arzawiyah tidak dapat mendedahkan identiti pelabur kelab tersebut bagi menghormati permintaan individu tersebut, namun mendedahkan bahawa pelabur tersebut bukan daripada Malaysia tetapi daripada negara Australia.

“Bajet pasukan kita tidak terlalu besar tapi Alhamdulillah sebab kita ada pelabur peribadi perseorangan untuk jadi untuk mengharungi sepanjang musim tiada masalah.

Pelabur kami sebenarnya bukan dari sini tapi daripada Australia dan beliau tidak mahu dikenali dan tidak mahu terlalu banyak publisiti jadi beliau amanahkan Pacific Alliance Consulting untuk menguruskan dana bagi pihak beliau.”

Sementara itu, biarpun PT Athletic sebuah pasukan baru namun mereka adalah pasukan pilihan dalam saingan Liga A1 musim ini dek menampilkan ramai bekas pemain kebangsaan dan Liga Super.

Antara pemain tersebut adalah Indra Putra Mahayuddin, Syazwan Zainon, Fandi Othman, Amri Yahya, Hafiz Ramdan dan ramai lagi.