Apa sudah jadi dengan persiapan skuad B-23 negara?

114

Selepas kegagalan skuad senior di saingan Piala AFF 2020 di Singapura baru-baru ini sepatutnya menjadi ‘wake up call’ buat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), namun sebaliknya berlaku.

FAM pada mulanya dikatakan akan mengatur perlawanan persahabatan antarabangsan untuk skuad B-23 kendalian Brad Maloney sebelum terbang ke Kemboja untuk saingan Piala AFF B-23, namun sebaliknya berlaku apabila mereka hanya akan mengadakan dua perlawanan dalam negara.


Sumber foto: FAM Facebook

Skuad B-23 pada mulanya dijadual akan bertemu dengan pasukan Brunei dan Singapura sebagai aksi pemanas badan, tetapi kemudian telah dibatalkan dan digantikan dengan dua perlawanan membabitkan Sabah FC dan KL City FC.

FAM dikatakan terpaksa membuat keputusan itu dek kesuntukan masa dan pandemik COVID-19 memaksa mereka terpaksa melupakan persahabatan luar negara.

Untuk saingan Piala AFF B-23, Malaysia telah diundi dalam kumpulan B bersama pasukan Indonesia, Laos dan Myanmar.

Sumber foto: FAM Facebook

Walaupun satu kumpulan dengan juara bertahan Indonesia, namun dengan rekod cemerlang skuad kendalian Maloney mereka dijangka tidak akan berdepan masalah besar untuk melepasi peringkat kumpulan sekaligus dapat menebus kehampaan skuad ‘abang’ yang terkandas di peringkat kumpulan sebelum ini.

Selain Piala AFF, skuad B-23 negara juga mempunyai tiga lagi kejohanan besar selepas ini iaitu Sukan Sea di Vietnam (Mei), Piala Asia di Uzbekistan (Jun) dan Sukan Asia di Hangzhou, China (September).

Dengan jadual yang padat, FAM perlu memastikan skuad negara berada pada tahap yang terbaik untuk memastikan dapat mencapai keputusan positif.

Malah mereka juga perlu mengatur banyak perlawanan persahabatan antarabangsa bagi memastikan skuad negara mengekalkan momentum.

Sumber foto: FAM Facebook

Peminat kini bergantung harap kepada pasukan skuad B-23 untuk mengembalikan keterujaan mereka terhadap sukan nombor satu negara ini setelah sekian lama kecewa dengan persembahan hambar skuad senior.

Ayuh skuad B-23 negara! Buktikan bahawa anda mampu mencipta kejayaan luar biasa demi negara tercinta.