Tiga atlet Olimpik negara cedera tapi tak serius – Hamidin
Chef de Mission (CDM) kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik 2024 Paris, Datuk Hamidin Mohd Amin memberitahu tiga daripada 18 atlet negara yang layak ke temasya itu kini sedang mengalami kecederaan.
Menurut Hamidin, kecederaan yang dihadapi oleh ketiga-tiga atlet itu bagaimanapun tidak serius dan kini sedang dirawat oleh doktor dan Institut Sukan Negara (ISN).
“Dalam mesyuarat saya tadi saya sudah dapat butiran yang mana dalam 18 atlet kita yang akan ke Olimpik, sebanyak tiga atlet mengalami kecederaan iaitu Lee Zii Jia, Shazrin dan seorang lagi Shah Firdaus.
Tapi kesemua atlet ini sedang menjalani rawatan dengan doktor dan ISN. Saya ingat tak berapa serius,”
katanya.
Hamidin pada masa sama turut berkata pemain-pemain badminton negara ketika ini berada di Singapura untuk mengharungi kejohanan di sana.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media bersama atlet Aniq Kasdan (angkat berat), Khairulnizam Mohd Afendy (pelayaran), Nur Aishah Mohamad Zubir (berbasikal lebuh raya) di Restoran Paya Serai, PJ Hilton semalam.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa Menteri Belia & Sukan (KBS), YB Hannah Yeoh mahu pastikan kesemua atlet negara dapat yang terbaik sepanjang mereka berada di Paris nanti.
“Kita mahu pastikan mereka diberikan sokongan yang kuat seperti dari keselesaan atlet termasuk makanan yang mana kita mempunyai Malaysia House di mana makanan yang atlet dapat samada di dalam atau luar mencukupi.
Kita akan bagi yang terbaik kerana YB Hannah mahukan yang terbaik supaya setiap atlet dapat ‘perform’ bersama pegawai-pegawai kita.”