Engku Shakir tiada masalah bermain di mana-mana posisi yang dimahukan KPG

143

Pemain Terengganu FC (TFC), Engku Shakir memberitahu beliau tiada masalah untuk bermain di mana-mana posisi yang dikehendaki oleh ketua jurulatih pasukan kebangsaan Kim Pan-gon biarpun beliau lebih gemar untuk bermain di posisi menyerang.

“Posisi kegemaran saya di bahagian serangan tapi mana-mana yang jurulatih letak, saya bersedia untuk main,”

katanya.

Engku Shakir juga mengakui berasa terkejut apabila buat pertama kalinya dapat panggilan pasukan kebangsaan.


“Saya terkejut juga kerana ini kali pertama tersenarai kerana kita tahu ada ramai lagi pemain-pemain bagus tapi saya terpilih jadi saya berasa sangat bersyukur.”

Beliau merupakan salah seorang daripada 26 pemain yang dipanggil oleh Pan-gon untuk ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bagi menghadapi perlawanan kelima dan keenam Kumpulan D, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz di Bishkek pada 6 Jun 2024 dan menentang Chinese Taipei di Bukit Jalil pada 11 Jun 2024.

Dalam pada itu, beliau berkata kehadirannya dalam pasukan bukan sekadar mahu berlatih sahaja sebaliknya mahu bersama pasukan bermain di  Republik Kyrgyz nanti.

“Saya datang sini bukan untuk latihan saja tapi untuk saya juga dan keluarga. Niat saya datang sini saya nak ikut pasukan untuk ke Republik Kyrgyz.”

Terdahulu, Pan-gon berkata beliau mengambil keputusan untuk memanggil Engku Shakir kerana permainan pemain itu menepati apa yang beliau dan barisan kejurulatihan mahukan dalam skuad negara.

“Kami sudah pantau Engku Shakir sejak dua tahun lalu yang mana pemain ini mempunyai corak permainan agresif sekaligus menepati apa yang kita mahukan dalam pasukan jadi dengan peluang yang diberikan ini mereka akan guna sebaik-baiknya untuk ke ‘next level’.”