Peluang Haqimi Azim untuk bersinar bersama Harimau Malaya

69

Pasukan kebangsaan Malaysia kini sedang membuat persiapan bagi menghadapi perlawanan kelima dan keenam Kumpulan D, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz di Bishkek pada 6 Jun 2024 dan menentang Chinese Taipei di Bukit Jalil pada 11 Jun 2024.

Nama pemain muda KL City FC iaitu Haqimi Azim turut tersenarai dalam 26 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih Kim Pan-gon untuk ke kem latihan pusat Harimau Malaya dan ini adalah peluang terbaik buat pemain itu untuk menunjukkan kemampuan beliau sebagai penyerang negara.


Tidak dapat dinafikan skuad negara ketika ini berada dalam keadaan serba kekurangan dek beberapa tonggak utama seperti Faisal Halim, Arif Aiman, Azam Azmi dan Romel Morales tidak dapat menyarung jersi pasukan kebangsaan kali ini kerana mengalami kecederaan.

Apa yang membuatkan Pan-gon lebih ‘pening’ apabila dua penyerang utama negara iaitu Syafiq Ahmad dan Darren Lok juga terpaksa diketepikan kerana mengalami kecederaan hamstring.

Biarpun situasi tidak menyebelahi skuad negara ketika ini, namun ia adalah peluang terbaik buat penyerang muda Haqimi untuk tampil bersinar di bahagian serangan negara.

Mungkin inilah masanya Pan-gon akan menggunakan Haqimi untuk bermain sebagai penyerang utama negara kerana pemain itu mempunyai pengalaman di peringkat antarabangsa.

Beliau juga merupakan satu-satunya penjaring untuk skuad B-23 negara ketika kejohanan Piala Asia B-23 2024 yang berlangsung di Doha, Qatar baru-baru ini.

Ternyata Haqimi mempunyai ciri-ciri seorang penyerang yang berkualiti kerana beliau bukan sahaja mempunyai kelajuan dan sizing tetapi juga bijak dalam mencipta peluang dan tajam dihadapan gawang.

Semua sedia maklum bahawa bukan mudah untuk seseorang pemain tempatan terutamanya pemain muda di posisi penyerang untuk mendapat tempat dan minit permainan dalam pasukan, namun Haqimi telah berjaya membuktikan sebaliknya.

Ini kerana untuk saingan Liga Malaysia musim lalu beliau telah bermain dalam 21 perlawanan dengan mengutip jumlah minit permainan sebanyak 640 minit dan berjaya menjaringkan satu gol dan satu bantuan gol.

Manakala untuk musim 2024/25 beliau diturunkan dalam kedua-dua perlawanan dengan mendapat sebanyak 142 minit permainan termasuk berjaya mendapatkan satu bantuan gol.

Dengan prestasi cemerlang yang dipamerkan mungkin Haqimi boleh menjadi senjata utama skuad negara dalam perlawanan menentang Republik Kyrgyz dan Chinese Taipei nanti.

Skuad negara kini dalam misi penting iaitu perlu menang kedua-dua perlawanan sekiranya mahu layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak secara automatik ke Piala Asia 2027.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen