Kita sasar untuk menang sekurang-kurangnya satu perlawanan di Asia Rugby Championship 2024 – Amir Amri
Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia, Amir Amri Mohammad meletakkan sasaran untuk pasukan kebangsaan menang sekurang-kurangnya satu perlawanan dalam kejohanan Asia Rugby Championship (ARC) 2024 nanti.
Menurut Amir, berdasarkan kekuatan skuad Bunga Raya ketika ini mereka menjangkakan kemenangan itu mampu dicapai apabila menentang United Arab Emirates (UAE).
“Sudah tentu sasaran kita adalah menang sekurang-kurangnya satu perlawanan dan sejarah telah membuktikan bahawa kita masih belum mampu menang dengan pasukan Hong Kong dan Korea Selatan.
Tapi sejarah telah membuktikan bahawa kita telah berjaya menang menentang UAE jadi sudah tentu sasaran kita adalah untuk menang dengan UAE nanti,”
katanya.
Kejohanan ARC 2024 akan disertai oleh empat negara iaitu Malaysia, Hong Kong, Korea Selatan dan UAE.
Skuad negara akan membuka tirai kejohanan pada 2 Jun ini menentang Korea Selatan di Incheon.
Dalam pada itu, Amir mengakui tajaan berjumlah RM50,000 yang diterima sangat membantu pihaknya untuk ragbi negara.
“Ya sudah tentu kerana kalau kita tengok dalam penganjuran kos yang mana kos tinggi melibatkan pengadil dan dengan penajaan ini dapat meringankan beban kewangan ragbi Malaysia dalam penganjuran yang akan kita anjurkan.”