Tajaan Enervive Sports tidak hanya pada pakaian tapi juga pembangunan pengadil ragbi – Nik Ramadhan

Ahli Majlis Kesatuan Ragbi Malaysia, Nik Ramadhan Nik Abdullah berkata penglibatan Enervive Sports tidak hanya terhad kepada penajaan pakaian sahaja tetapi juga kepada pembangunan pengadil ragbi negara.
“Kami pilih Enervive kerana kita sudah lama bekerjasama sejak Super School Rugby dijalankan jadi antara sebab kami percaya pada jenama dan permintaan kita Alhamdulillah mereka tunaikan serta kualiti dan jaminan daripada Enervive dalam menaja.
Pertama sekali tentang pakaian, yang keduanya tentang kerjasama untuk pembangunan pengadil. Kerjasama ini bukan hanya tentang pakaian tetapi juga tentang pembangunan dari segi bengkel, khusus yang akan kami buat sepanjang tahun 2024 dan 2025 yang mana Enervive akan menyumbang tenaga dan menyumbang kewangan dalam memudahkan urusan kami sebagai pengadil ragbi di Malaysia,”
katanya.
Nik Ramadhan berkata demikian ketika sedia media Majlis Memeterai Perjanjian Penajaan diantara Kesatuan Ragbi Malaysia bersama Enervive Sports yang berlangsung di Enervive Sports, Subang Jaya, semalam.
Dalam pada itu, beliau berkata walaupun perjanjian penajaan hanya untuk tahun 2024 hingga 2025, namun beliau telah diberi jaminan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Enervive Sports, Shahrizin Shaharudin yang mana mereka mungkin akan terus menaja untuk satu tempoh yang lama selepas ini.
“Seperti yang diberitahu tadi penajaan dari tahun 2024 hingga 2025 tapi insyaAllah CEO Enervive berkata mereka akan terus menaja mungkin untuk empat hingga lima tahun, kalau seumur hidup lagi bagus.”
Enervive Sports dikatakan akan menaja Ragbi Malaysia kira-kira RM50,000 yang mana ia merangkumi jersi di atas padang, baju polo, baju pemanas badan untuk pengadil serta program pembangunan pengadil.