Zhafri Yahya tiada masalah main di posisi tengah atau sayap
Pemain Zhafri Yahya memberitahu beliau sudah biasa bermain di beberapa posisi berbeza ketika bermain untuk KL City FC jadi beliau tiada masalah untuk bermain di mana-mana posisi yang diletakkan oleh ketua jurulatih Kim Pan-gon.
“Saya okay saja sebab saya sebelum ini ada pengalaman bermain di posisi tengah dan sayap jadi kini bergantung kepada jurulatih beliau nak letakkan seseorang pemain itu di mana,”
katanya.
Zhafri yang sebelum ini berada dalam Senarai Bersedia telah dipanggil untuk melapor diri ke kem latihan pusat Harimau Malaya bagi menghadapi dua perlawanan Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz pada 6 Jun dan Chinese Taipei pada 11 Jun 2024.
Pemain berusia 30 tahun itu dipanggil bagi menggantikan penyerang Kedah Darul Aman FC, Syafiq Ahmad yang terpaksa diguggurkan selepas disahkan mengalami kecederaan.
Biarpun ramai yang merasakan skuad negara ketika ini ‘tempang’ dengan ketiadaan ramai tonggak utama dek kecederaan, namun Zhafri yakin dengan kemampuan pasukan dan berkata Pan-gon sudah berjaya menyelesaikan masalah itu.
“Tidak dinafikan pemain-pemain yang cedera itu adalah pemain yang berpengalaman dan juga ‘regular’ dalam pasukan kebangsaan jadi sedikit terjejas cuma kita faham setiap orang punya masalahnya sendiri dan jurulatih dapat menyelesaikan masalah itu jadi insyaAllah mungkin kita akan berjaya nanti.”
Tambahnya lagi, ketiadaan beberapa tonggak utama akan memberi ruang dan peluang kepada pemain-pemain lain untuk menujukkan kemampuan sebenar mereka.
“Sudah semestinya sebab bila mereka tiada mungkin ada pemain yang boleh ganti dan inilah peluang untuk kita tunjukkan yang terbaik.”
Ini merupakan kali ketiga beliau dipanggil untuk ke kem latihan negara namun masih belum mendapat kaps pertamanya lagi dan berharap dapat tersenarai dalam skuad akhir bagi menghadapi dua perlawanan tersebut.