Kini terletak kepada saya sendiri untuk tunjuk kemampuan diri kepada KPG – Adib Raop
Pemain Penang FC, Adib Raop yang pertama kali dipanggil untuk ke kem latihan pusat Harimau Malaya berkata beliau kini tiba masanya untuk tunjukkan kemampuannya kepada ketua jurulatih Kim Pan-gon yang beliau layak untuk bermain untuk pasukan kebangsaan.
“Bagi saya itu atas usaha saya sendiri dekat sini saya kena tunjuk dan membuktikan kepada jurulatih KPG yang saya layak bermain.
Saya perlu bekerja dengan lebih keras lagi daripada pemain-pemain lain, jadi kini semuanya terletak pada diri saya dahulu dan yang lain saya harap jurulatih dapat beri saya peluang,”
katanya.
Adib merupakan beberapa pemain baru yang dipanggil untuk kem kebangsaan kali ini sebagai persiapan bagi menghadapi perlawanan kelima dan keenam Kumpulan D, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz di Bishkek pada 6 Jun 2024 dan menentang Chinese Taipei di Bukit Jalil pada 11 Jun 2024.
Tambahnya lagi, peluang yang diberikan oleh Pan-gon beliau perlu gunakan sebaik yang mungkin untuk berikan yang terbaik supaya beliau dapat terus kekal bersama skuad negara.
Dalam pada itu, Adib mengakui terkejut apabila dapat panggilan skuad negara dan berasa cukup gembira dan bangga dengan berita itu.
“Saya tak sangka dapat panggilan skuad negara sebab saya rasa saya cuma bermain di Penang dan tak rasa ada orang pandang saya tapi apa yang penting saya perlu buat yang terbaik.”
Sementara itu, skuad negara kini dalam misi penting iaitu perlu menang kedua-dua perlawanan sekiranya mahu layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak secara automatik ke Piala Asia 2027.