Kmy Kmo harap liga MPL MY untuk selebriti diwujudkan satu hari nanti

45

Penyanyi rap popular tanah air, Kmy Kmo meluahkan hasratnya untuk melihat satu hari nanti liga Mobile Legends: Bang Bang Profesional League Malaysia (MPL MY) untuk selebriti dapat diwujudkan kerana katanya ramai selebriti tempatan turut bermain permainan video Mobile Legends.

“Saya rasa ada benda yang unik MPL ke atau Homebois sendiri buat cuba adakan skuad ML tapi selebriti yang mana perlawanan selebriti menentang selebriti dalam satu segmen istimewa.

Mungkin ramai tidak tahu sebenarnya ramai penyanyi dan artis yang main ML seperti Achey, Ajak dan ramai lagi jadi saya rasa bila adanya skuad selebriti dunia hiburan akan masuk dalam dunia e-sukan sekaligus ia dapat bantu antara satu sama lain,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Kmy berkata demikian ketika ditemui di Grand Final MPL MY musim ke-13 yang berlangsung di Stadium MBSJ yang menyaksikan Selangor Red Giants (SRG) berjaya menewaskan juara bertahan Homebois 4-2 untuk dinobat sebagai juara baru.


Dalam pada itu, Kmy yang pernah mempunyai pasukan dan akademi e-sukan sebelum ini berkata usaha itu terbantut kerana tiada pengalaman.

“Sebelum ini kami tidak cukup pengalaman, ‘knowledge’ tak cukup besar untuk belajar macam mana nak buat akademi e-sukan sebab kali pertama kami tengok ingatkan e-sukan ini sesuatu yang kecil sahaja tapi bila kami sendiri masuk baru sedar baru e-sukan ini cukup besar dan boleh dipanggil sebagai industri.

Jadi apa yang terbantut di situ saya dan rakan-rakan anggap mungkin rezeki kami sampai di situ sahaja.”

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan akan buka semula akademi satu hari nanti.