Kerajaan akan taja pasukan e-sukan yang akan bersaing di kejohanan dunia nanti – Zahid Hamidi

37

E-sukan kini semakin mendapat perhatian ramai termasuk Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Dr. Zahid bin Hamidi yang turut mengikuti perkembangan e-sukan termasuk pernah beberapa kali berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan (KBS), YB Hannah Yeoh mengenai perkara itu.

Malah, Zahid juga berkata beliau akan memberitahu Hannah untuk memberi tajaan kepada pasukan Malaysia yang akan berentap di kejohanan dunia pada hujung tahun ini.


“YB Hannah Yeoh banyak kali mengadakan perbincangan dengan saya untuk mempromosikan e-sukan bukan sahaja di peringkat rantau ini tetapi juga di peringkat global.

Sebagaimana difahamkan kejohanan dunia akan berlangsung pada akhir tahun ini jadi saya akan memberitahu Hannah Yeoh agar pihak kerajaan sendiri memberikan penajaan agar lebih banyak tokoh-tokoh tempatan dapat kita ketengahkan di peringkat global,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Grand Final Mobile Legends: Bang Bang Profesional League Malaysia (MPL MY) musim ke-13 di Stadium MBSJ baru-baru ini.

Dalam pada itu, biarpun berkata dirinya seorang yang tradisional namun Zahid mengakui terjebak dengan e-sukan menerusi anak saudara dan cucu-cucunya.

“Sebenarnya saya seorang yang tradisional tapi saya ada mengikuti beberapa tokoh daripada Selangor Red Giants (SRG) yang berlatih di sekitar kawasan perumahan saya dan kebetulan salah seorangnya adalah anak saudara saya.

Jadi melakukan ‘feedback’ daripada anak saudara dan cucu-cucu maka saya juga terjebak.”

Dalam aksi Grand Final telah menyaksikan SRG telah dinobat sebagai juara baru MPL MY selepas menewaskan juara bertahan Homebois 4-2.