Tidak mustahil UiTM Lioness boleh menang dengan MBSJ – Rosdianah Adeline
Ketua pasukan UiTM United Lioness FC, Rosdianah Adeline memberitahu tidak mustahil untuk pasukannya mampu untuk menewaskan pasukan lawan MBSJ pada perlawanan terakhir FAS Women’s Super League (WSL) 2024 pada hujung minggu ini.
Menurut Adeline, walaupun MBSJ adalah pasukan pilihan kerana mempunyai kelebihan di atas kertas namun beliau tetap yakin dengan kemampuan pasukannya.
“Bagi pendapat saya sendiri sudah pasti di atas kertas MBSJ memang pasukan pilihan tapi pada saya tidak mustahil kami boleh beri permainan 100% di final nanti,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Adeline turut berasa bangga dengan pasukannya apabila akhirnya berjaya mara ke perlawanan akhir selepas tiga musim bersaing di WSL.
“Saya rasa bangga sebab musim ini adalah musim ketiga kami dapat mara ke perlawanan akhir kerana sebelum ini kami hanya mampu mara sehingga peringkat suku akhir sahaja.
Jadi musim ini syukur dan bangga dengan pasukan saya dapat sampai ke tahap ini kerana musim ini kami berjaya mara ke dua perlawanan akhir iaitu Piala FA dan FAS.”
Dalam pada itu, beliau turut berpuas hati dengan persiapan pasukannya menjelang aksi penting nanti dengan berkata setiap pemain memberikan komitmen penuh dalam setiap latihan mereka.
Pada masa sama Adeline juga berkata beliau tidak pernah terlintas di fikirannya untuk bersaing dengan pemain lain sebaliknya fokus pada dirinya sendiri.
Sementara itu, menjelang aksi akhir nanti beliau berkata pasukannya akan bermain dengan corak permainan yang sama.
“Kami akan bermain seperti sebelum ini tapi kami akan beri 100% dan berjuang habis-habisan nanti.”