Kaseh Carmila akan sarung jersi MUFT untuk LWN 2024
Penyerang utama pasukan UiTM United Lioness FC, Kaseh Carmila memberitahu bahawa beliau akan menyarung jersi pasukan Malaysia University Football Team (MUFT) untuk saingan Liga Wanita Nasional (LWN) musim 2024.
“Ya memang ada pasukan yang berminat dan saya sudah pilih untuk bermain bersama pasukan MUFT,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Untuk musim 2024, LWN akan disertai oleh 10 pasukan dengan menggunakan format halaman sendiri dan halaman lawan yang mana jumlah wang hadiah yang ditawarkan akan lebih lumayan berbanding musim lalu.
Dalam pada itu, Kaseh kini sedang sibuk menjalani latihan persiapan menjelang perlawanan akhir FAS Women’s Super League (WSL) 2024 di mana pasukannya UiTM United Lioness akan menentang pasukan pilihan MBSJ pada hujung minggu ini.
Menurut Kaseh, biarpun tampak sukar untuk menjulang trofi kejuaraan namun beliau dan rakan sepasukan akan tetap berjuang dan memberikan persembahan terbaik.
“UiTM United Lioness baru sahaja mencipta sejarah apabila berjaya layak ke final Piala FA dan final WSL.
Pada pendapat saya walaupun UiTM bukan pasukan pilihan bagi semua orang tapi kami dapat buat yang terbaik untuk masuk ke peringkat akhir dan bagi kami peluang untuk menang WSL agak sukar tapi kami akan buat yang terbaik.”
Sementara itu, Kaseh mengakui cabaran besar menantinya pada perlawanan akhir nanti kerana pemain lawan sudah tahu kemampuannya dan pastinya beliau akan dirantai oleh barisan pemain pertahanan lawan.
Tapi beliau tidak mahu menjadikan perkara itu sebagai penghalang untuknya bantu pasukan dengan menjaringkan gol.