Tahniah kepada pemain kerana berjaya realisasikan impian saya dan pengurusan – Amir Sharifudin
Ketua jurulatih pasukan UITM United Lioness FC, Amir Sharifudin bangga dan mengucapkan tahniah kepada pemain-pemainnya kerana berjaya merealisasikan impiannya sebagai jurulatih dan pihak pengurusan selepas berjaya mara ke perlawanan akhir FAS Women’s Super League (WSL) 2024.
Menurut Amir, tidak hanya mereka berjaya ke perlawanan akhir WSL tapi mereka juga berjaya ke perlawanan akhir Piala FA sekaligus memberikan kejayaan berganda.
“Tahniah kepada semua pemain kerana berjaya realisasikan impian saya sebagai jurulatih dan pihak pengurusan.
Sebenarnya untuk berada di final untuk kedua-dua kejohanan adalah satu bonus untuk kami kerana sebenarnya sasaran kami cuma di Piala FA sahaja untuk cipta kejayaan tapi Alhamdulillah pemain-pemain berjaya buktikan bahawa dengan semangat berpasukan kami berjaya layak ke perlawanan akhir di dua kategori,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Dalam pada itu, Amir berkata antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan pasukannya adalah beliau terapkan aspek kekeluargaan.
“Sebenarnya sewaktu dalam latihan saya terapkan aspek kekeluargaan terutamanya kepada pemain-pemain.
Untuk kendalikan sebuah pasukan wanita ini kita tahu sukar kerana banyak bermain dengan emosi, banyak bermain dengan minda dan itu yang saya terapkan dalam latihan, ke mana pun kita akan pergi kita akan pergi sebagai sebuah pasukan dan untuk jadi pasukan yang bagus perlu ada kepercayaan antara satu sama lain.”
Sementara itu, bercerita lanjut mengenai persiapan pasukan menjelang perlawanan akhir WSL menentang MBSJ hujung minggu ini, beliau sedar pasukan lawan adalah sebuah pasukan pilihan berikutan ia dibarisi oleh ramai pemain-pemain berpengalaman dan hebat.
Amir bagaimanapun berkata dengan status sebagai pasukan ‘underdog’ membuatkan pemain-pemainnya tidak tertekan sekaligus dapat memberikan aksi yang terbaik nanti.